Pengayuh beca teruja gantung bendera Malaysia

Iklan
Che Kamarudin bersama beca miliknya yang dihiasi jalur gemilang.

KOTA BHARU - Pandemik Covid-19 bukan penghalang kepada seorang pengayuh beca untuk mengabdikan kecintaannya kepada negara dengan menggantung bendera Malaysia dan bendera Kelantan di beca miliknya.

Che Kamarudin Che Amat, 62, dari Berek 12 di sini mengakui Covid-19 mengakibatkan dia hilang sumber pendapatan namun tetap tidak melenyapkan semangatnya untuk menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 tahun ini.

Iklan
Iklan

Bapa kepada 10 anak yang berusia 11 sehingga 35 tahun itu memberitahu, dia mula mengumpul bendera berkenaan sejak Jun lalu melalui pembelian menggunakan wang lebihan belanja hariannya dan pemberian orang ramai.

Katanya, hobi tersebut bermula sejak tahun 2016 dan mendapat sokongan daripada masyarakat setempat serta pelancong.

Iklan
Che Kamarudin membetulkan bendera yang digantung di beca miliknya.

"Memang orang ramai suka tengok beca dihias cantik. Mereka akan datang ambil gambar dan memberi sedekah kepada kami. Alhamdulillah boleh beli lauk untuk anak-anak," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Menurut warga emas itu, dia membelanjakan sebanyak RM300 untuk membeli lebih 100 bendera pelbagai saiz sehingga mencecah ketinggian empat meter.

Iklan

Che Kamarudin membuat persediaan sejak Jun lalu termasuk mencari batang paip PVC di kawasan pembuangan sampah untuk dijadikan tiang bendera supaya lebih tinggi dan kukuh.

"Saya hanya membeli bunga supaya lebih kelihatan segar dan berseri.

Beca milik Kamarudin sentiasa dihias bila tiba bulan kemerdekaan setiap tahun sejak 2016 lalu.

"Alhamdulillah, saya dapat hias lagi beca saya tahun ini. Ia antara aktiviti tahunan saya apabila tiba bulan kemerdekaan. Walaupun serba ringkas, cukuplah untuk saya menyatakan rasa sayang kepada negara," katanya.

Che Kamarudin juga mengakui kehidupannya hanya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang tetapi tidak berputus asa mencari rezeki setiap hari.

Menurutnya, rezekinya tidak pernah putus kerana ada yang memberi dan faham dengan situasi yang dialami pengayuh beca ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

"Saya hanya berusaha mencari rezeki dan berserah pada ALLAH SWT. Walaupun tidak mengayuh beca tetapi ada juga sumbangan orang ramai kepada kumpulan kami apabila mereka mengambil peluang bergambar dengan kemeriahan beca yang kami sediakan," katanya.