BAGAN DATUK - Beberapa kain rentang provokasi yang mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan dikesan digantung di Bagan Datuk.
Kain rentang yang dipasang di persimpangan jalan dan hentian bas di sekitar Bagan Datuk itu disedari oleh orang awam pada pagi Rabu.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk, Mohd Rizan Razali berkata, kain rentang tersebut dikesan digantung seawal jam 7.30 pagi di beberapa tempat sepanjang jalan dari Pekan Bagan Datuk hingga ke Hutan Melintang.
Menurut beliau, Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk telah digerakkan ke seluruh kawasan untuk menurunkan kain rentang provokasi berkenaan.
"Kita tidak pasti ini kerja siapa. Tindakan ini amat keterlaluan dan biadab yang sengaja dilakukan untuk mengaibkan Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.
"Kami Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk akan membuat laporan polis hari ini bagi meminta pihak berkuasa menyiasat tindakan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mohd Rizan berkata, pihaknya yakin kain rentang tersebut akan digantung semula oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.
Katanya, setakat ini pihaknya tidak mengetahui motif tindakan menggantung kain rentang tersebut kerana hanya dibuat di Bagan Datuk.
"Setakat ini hanya di Bagan Datuk dan saya telah tanya rakan-rakan Pemuda UMNO bahagian lain bahawa tiada kain rentang provokasi seumpama itu dipasang di kawasan mereka.
"Beberapa kain rentang kita telah turun tetapi selepas itu dinaikkan semula di kawasan lain. Kita tak pasti apa motif sebenar mereka," katanya.