Bank Rakyat, YTM bantu pelajar akses PdPR

Iklan
Wan Junaidi (dua dari kiri, belakang) bersama wakil dari tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako, SMK Lundu, dan SMK Santubong, Kuching masing-masing menerima sumbangan tablet manakala 20 pelajar lain menerima kad sim unifi Mobile #Bebas.

BANK Rakyat melancarkan inisiatif ‘BR Didik Digital’ dengan kerjasama Yayasan Telekom Malaysia (YTM) bagi membantu pelajar dari keluarga asnaf dan B40 mendapat akses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat menyumbangkan tablet kepada 240 pelajar asnaf berumur antara tujuh hingga 17 tahun dengan jumlah keseluruhan bernilai RM105,000.

Iklan
Iklan

YTM pula menyumbang 740 kad sim Unifi Mobile #Bebas yang bernilai lebih RM180,000 kepada pelajar sekolah dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, MEDAC menyambut baik kerjasama antara Bank Rakyat dengan Yayasan Telekom Malaysia melalui program BR Didik Digital ini.

Iklan

"Pada waktu yang sukar di era pasca-Covid-19 ini, ramai yang masih lagi terkesan terutamanya pelajar. Tidak semua bernasib baik dan berkemampuan untuk menjalani kehidupan dalam norma baharu ini.

"Justeru jalinan kerjasama strategik sebegini diharapkan dapat membantu menyokong sesi pembelajaran mereka. Sumbangan ini juga merupakan salah satu usaha menjadikan pendidikan inklusif kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar berkata, program BR Didik Digital ini juga adalah seiring dengan Transformasi Sistem Pendidikan Negara ke arah Sistem Pendidikan Digital yang bertujuan meningkatkan kemahiran guru dan pelajar dalam aspek penggunaan peralatan teknologi maklumat.

Wan Junaidi

"Sumbangan tablet serta data internet ini selaras dengan pelan strategik lima tahun Bank Rakyat 2025 (BR25) yang merangkumi ke arah aspirasi matlamat Pelan Pembangunan Lestari Bank Rakyat seterusnya mencapai ideologi bank,” katanya.

Bagi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan TM yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, YTM berharap melalui Program BR Didik Digital ini, ia dapat memudahkan anak-anak untuk terus terhubung dan lebih fokus dalam pelajaran mereka tanpa sebarang kekangan.

"Sumbangan kad sim ini adalah merupakan sebahagian daripada dana Kementerian Kewangan dalam menyokong usaha pembelajaran digital dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Sebanyak 240 buah tablet diserahkan kepada pelajar asnaf, manakala 240 pelajar lain akan menerima pakej data internet Unifi Mobile #Bebas secara percuma selama setahun.

Penyerahan akan dilakukan secara berperingkat ke sembilan sekolah yang telah dikenal pasti.

Program ini turut memberikan pakej data internet percuma selama setahun kepada 500 pelajar daripada 10 MRSM.

Sementara itu, seramai 20 pelajar asnaf daripada tiga sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako, SMK Lundu, dan SMK Santubong, Kuching masing-masing menerima sumbangan tablet, manakala 20 pelajar lain menerima kad sim Unifi Mobile #Bebas.

Selain di Sarawak, pelajar yang turut menerima bantuan ini adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Raja Syed Alwi Kangar, SMK Tunku Putra Langkawi, SMK Paloh Gua Musang, SMK Kerteh, SK Satu, Jalan Hospital, Tapah serta SMK Taun Gusi Kota Belud.

Pelajar dari MRSM terpilih juga menerima sumbangan data internet daripada YTM termasuklah Arau, Langkawi, Balik Pulau, Taiping, Serting, Kem Terendak, Muar, Kuantan, Terengganu dan Pengkalan Chepa.