AMPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita hanya menyedari dirinya dijangkiti Covid-19 pada hari kematian bapanya pada Sabtu lalu.
Bekas wartawan Utusan Malaysia, Zuhayati Yazid, 40, berkata, dia menggunakan kit ujian kendiri di rumah selepas jenazah bapanya, Yazid Shafie, 79, yang meninggal di rumah dibawa ke Hospital Ampang untuk menunggu keputusan saringan.
Dia terdetik melakukan saringan selepas mengalami demam sehari sebelum kejadian yang kemudian abangnya merupakan seorang doktor menyarankan pemeriksaan dilakukan.
"Covid-19 ini sangat durjana dan jahat, kenapa dalam ramai-ramai orang, saya yang gemuk jadi pilihan lagi pun saya sudah lama tidak ke mana-mana hanya duduk di rumah menguruskan ayah.
"Kerana Covid-19 juga saya hilang selera, semua yang ditelan tiada rasa, tapi saya paksa telan sebab mahu makan ubat. Demam dia bukan biasa-biasa habis sengal satu badan.
"Baru beberapa hari demam, berat saya hilang lima kilogram. Senang betul turun berat kalau tidak sebelum ini terpaksa lompat bintang sampai melecet paha tapi nak turun sekilogram pun payah," luahnya di Facebook pada Rabu.
Menurut Zuhayati, jenazah bapanya selamat dikebumikan pada Isnin lalu selepas dua hari berumah dalam kontena mayat di hospital.
"Saya reda, lebih dua tahun jaga ayah tapi saya tak mampu mengiringi perjalanan terakhir ayah di dunia, hanya dapat melihatnya menerusi panggilan video. Ini takdir perjalanan yang ALLAH SWT susun untuk saya," katanya.
Katanya, setakat ini demamnya belum pulih sepenuhnya dan bacaan oksigennya juga tidak stabil ada kala naik dan turun.
"Begitu juga dengan kakak saya turut dijangkiti Covid-19 dan masih demam. Kami masih lemah dan mencari kekuatan tapi kami tahu semua berlaku dengan izin-Nya kerana dia tahu kami kuat untuk lalui.
"Kawan-kawan yang masih sihat jaga diri, yang bekerja di kawasan ramai orang tolonglah jangan bagi ruang kepada Covid-19 untuk dekat. Si durjana memang jahat bukan sikit-sikit tapi jahat 1,000 kali ganda," katanya.
Dalam pada itu, dia meminta orang ramai mendoakan kesihatannya bagi membolehkannya meneruskan kehidupan seperti biasa.