PEMENANG enam kali anugerah Ballon d'Or, Lionel Messi akhirnya memuktamadkan keputusan untuk meneruskan kariernya bersama gergasi Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).
Bintang Argentina berusia 34 tahun itu turut menandatangani kontrak selama dua musim untuk beraksi di Parc des Princes dengan pilihan lanjutan selama setahun.
Mengulas lanjut, Messi berkata, dia memilih PSG berdasarkan kepada beberapa kriteria yang dilihat menepati cita-citanya dalam arena bola sepak.
Malah menurut bekas kapten Barcelona itu, dia berazam untuk membantu kelab baharunya itu untuk melakar lebih banyak kejayaan musim ini.
"Saya sudah tidak sabar untuk memulakan lembaran baharu dalam karier saya di Paris.
"Bagi saya, kelab ini mempunyai misi yang jelas selain menepati cita-cita saya dalam arena bolasepak.
"Saya juga sedia maklum mengenai kebolehan kesemua pemain dan staf PSG dan ini membuatkan saya sudah tidak sabar untuk beraksi di laman Parc des Princes,” katanya.
Pengakuan Messi itu sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju pemain berusia 34 tahun itu setelah kontraknya bersama Barcelona tidak disambung, musim depan.
Untuk rekod, Messi telah membantu skuad Blaugrana itu memenangi 34 trofi secara keseluruhannya termasuk trofi Liga Juara-Juara selain 10 trofi La Liga sejak menyertai gergasi bola sepak Sepanyol itu sejak 2004 ketika berusia 17 tahun.
Justeru, kehadirannya ke PSG dilihat bakal membentuk gandingan mantap bersama bekas rakan sepasukannya di Nou Camp, Neymar selain bintang Perancis, Kylian Mbappe.
Sementara itu Presisden PSG, Nasser Al-Khelaifi nyata gembira dengan keputusan Messi memilih skuad Les Parisiens itu setelah meninggalkan Barcelona; kelab yang telah diwakilinya bagi tempoh 21 tahun.
Nasser juga percaya, Messi akan menggunakan segala pengalaman yang dimilikinya bagi membantu PSG meraih kejayaan, samada di peringkat domestik mahu pun di peringkat Eropah.
"Kita sangat berbesar hati dia akhirnya memilih untuk menyertai PSG dan kita mengalu-alukan kedatangannya ke sini (Paris), termasuk keluarganya sekali.
"Kita juga kagum bahawa dia tidak menyembunyikan hasratnya untuk membantu kita memenangi piala dan membawa kelab ini hingga ke peringkat tertinggi,” katanya.