Tiga NGO gesa segerakan pelantikan Naib Canselor UiTM

Iklan
Tiga NGO gesa agar isu pelantikan Naib Canselor UiTM yang baharu dapat diselesaikan segera.

SHAH ALAM - Tiga badan bukan kerajaan (NGO) menggesa isu penangguhan pelantikan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baharu dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak berkaitan.

Desakan berkenaan dinyatakan oleh NGO terdiri daripada Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA), Persatuan Kakitangan Akademik UiTM (UTiMAS) dan Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUiTM).

Iklan
Iklan

Menerusi satu kenyataan bersama pada Rabu, tiga NGO terlibat berkata, penangguhan pelantikan berkenaan telah memberi kesan dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap institusi pengajian tinggi itu.

"Jawatan Naib Canselor di UiTM telah kosong sejak Mac lalu dan diberitakan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Roziah Mohd Janor telah dilantik menerusi satu surat bertarikh 2 Ogos lalu iaitu sebelum Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar mengeluarkan surat penangguhan pelantikan berkenaan pada 7 Ogos.

Iklan

"Berikutan itu, kami juga telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyatakan pandangan berhubung isu ini dan mengharapkan kebijaksanaan beliau untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pemangku UTiMAS, Profesor Madya Datin Dr Sarimah Ismail; Presiden MITASA, Ahmad Faisal Mohamed Fiah dan Presiden KKUiTM, Zulkifli Mohamed.

Iklan

Ahad lalu, Husaini mengesahkan kepada media mengenai penularan satu surat bertarikh 7 Ogos berhubung penangguhan pelantikan Roziah sebagai Naib Canselor UiTM yang baharu.

Difahamkan, Roziah sebelum ini telah dipilih bagi memegang jawatan berkenaan menerusi satu surat yang ditandatangani oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bertarikh 2 Ogos lalu.

Dalam perkembangan sama, NGO berkenaan berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang kepentingan berhubung pemilihan mana-mana calon untuk jawatan itu, namun ia seharusnya melalui proses saringan dan memenuhi kriteria ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan.

"Kami juga ingin tegaskan, pihak kami tidak pernah mengeluarkan sebarang surat atau kenyataan membantah pelantikan tersebut memandangkan kami sendiri tidak dimaklumkan secara langsung siapa terpilih," katanya.

Tambah kenyataan itu, pelantikan berkenaan harus dibuat secara telus dan tidak dipengaruhi unsur-unsur negatif yang memberi kesan kepada institusi berkenaan.