E-dagang rekod pendapatan RM267.6 bilion, meningkat 23.3 peratus

Iklan
Foto 123RF

TRANSAKSI e-dagang Malaysia merekodkan pendapatan sebanyak RM267.6 bilion pada suku tahun kedua 2021 iaitu peningkatan 23.3 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, dua sektor utama yang mendorong prestasi pertumbuhan itu ialah sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, prestasi sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan positif dengan hasil sebanyak RM404.5 bilion iaitu peningkatan 20.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun tahun lalu berikutan kesan tahun asas perbandingan yang rendah.

"Segmen Perdagangan Borong dan Runcit, Makanan dan Minuman serta Penginapan meningkat 21.8 peratus kepada RM324.6 bilion. Ini diikuti oleh segmen Maklumat dan Komunikasi serta Pengangkutan dan Penyimpanan 14.7 peratus kepada RM59.5 bilion.

Iklan

"Kesihatan dan Kesenian, Hiburan dan Rekreasi serta segmen Profesional dan Ejen Hartanah juga mengalami tren yang sama iaitu masing-masing merekodkan pertumbuhan 27.3 peratus kepada RM12.2 bilion dan 8.0 peratus kepada RM8.2 bilion,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, pekerja bagi sektor perkhidmatan yang kini berjumlah 3.6 juta orang dilaporkan merosot sebanyak 25,812 orang iaitu -0.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Iklan

Menurutnya, perkara tersebut berlaku disebabkan oleh pengurangan pekerja segmen Maklumat dan Komunikasi serta Pengangkutan dan Penyimpanan yang dicatatkan menurun sebanyak 11,297 orang atau -2.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2020.

"Kemerosotan pekerja itu diikuti oleh segmen Perdagangan Borong dan Runcit, Makanan dan Minuman dan Penginapan seramai 6,127 orang atau -0.2 peratus. Sementara itu, segmen Kesihatan dan Kesenian, Hiburan dan Rekreasi menyusut -1.7 peratus atau 4,772 orang.

"Segmen Profesional dan Ejen Hartanah juga menurun sebanyak 3,616 orang iaitu -2.0 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor tersebut meningkat kepada RM100.5 juta iaitu meningkat 0.4 peratus berbanding suku yang sama pada 2020.

"Peningkatan gaji dan upah ini disumbangkan oleh segmen Maklumat dan Komunikasi serta Pengangkutan dan Penyimpanan dengan peningkatan sebanyak RM120.8 juta atau 2.8 peratus.

"Ini diikuti oleh segmen Perdagangan Borong dan Runcit, Makanan dan Minuman, Penginapan dan segmen, Kesihatan dan Kesenian serta Hiburan dan Rekreasi yang masing-masing meningkat sebanyak RM9.3 juta dan RM3.0 juta,” katanya.