Gagal lapor tawaran suapan RM25,000, pegawai imigresen didenda RM3,000

Iklan
Tertuduh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan gagal melaporkan tawaran suapan RM25,000 kepada pihak berkuasa, bagi melancarkan proses kemasukan 80 warga asing dari China dan Pakistan empat tahun lalu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Seorang pegawai Jabatan Imigresen didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas pertuduhan gagal melaporkan tawaran suapan RM25,000 kepada pihak berkuasa, bagi melepaskan proses kemasukan 80 warga asing dari China dan Pakistan, empat tahun lalu.

Noor Azma Azmin, 39, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Rozilah berkata, sekiranya tertuduh berintegriti dalam menjalankan tugas, dia boleh mencegah kemasukan 80 warga asing tersebut.

Iklan

"Bukan seorang tetapi 80 orang, anda kena ingat, jika ambil rasuah beri kepada keluarga ia jadi darah daging," katanya.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu yang bertugas sebagai Pegawai Imigresen di Bahagian Kawalan Operasi, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), telah ditawarkan suapan RM25,000 daripada seorang wanita sebagai upah membantu melepaskan warga China dan Pakistan daripada tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Iklan

Ia melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengelak integriti dan kebertanggungjawapan pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan itu kepada SPRM atau polis, di bahagian Bangunan Terminal KLIA, Sepang pada 2017.

Dia didakwa melanggar peruntukan Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, sekitar 2017, tertuduh dihubungi oleh seorang wanita yang meminta bantuannya bagi melancarkan proses kemasukan 80 warga asing dari China dan Pakistan yang telah menyalahgunakan pas lawatan sosial di pintu masuk KLIA lalu dia ditawarkan RM25,000.

Semasa prosiding, peguam, Norliana Ali Othman merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan insaf dengan perbuatan itu selain berjanji tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan.

"Ekoran kes ini, dia digantung kerja sejak Mei lalu dan ada kemungkinan besar dia akan diberhentikan kerja.

"Akibat pandemik Covid-19 ketika ini, suaminya tidak mempunyai pendapatan tetap dan mereka perlu menyara tiga anak berusia antara empat bulan hingga lima tahun," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd 'Afif Ali berkata, walaupun mengetahui tawaran suapan tetapi tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa, ia adalah satu kesalahan.