BAGAN DATUK - Polis telah menyelesaikan siasatan terhadap video tular ritual keagamaan hingga mendatangkan kecederaan kepada tiga sekeluarga di sebuah kuil di Selekoh, Rungkup di sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam tempoh terdekat.
Iklan
Iklan
Menurutnya, sami berusia 39 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Rabu selepas keterangan selesai diambil.
"Enam sekeluarga yang terlibat dalam kejadian itu telah dirakamkan kerana hanya mereka sahaja yang tahu kenapa upacara tersebut dibuat dan kenapa sami terbabit mengambil tindakan sedemikian.
"Polis hanya akan menyiasat adakah tindakan tersebut bercanggah dengan undang-undang di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan rotan," katanya di sini pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis menahan seorang sami bagi membantu siasatan terhadap video tular ritual keagamaan untuk tolak bala melibatkan enam sekeluarga.
Siasatan dijalankan selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan ritual yang dilakukan sami terhadap keluarga adiknya itu.