Sebahagian besar daripada pelajar akan menerima elaun harian atau bulanan untuk belanja persekolahan dan wang inilah yang akan digunakan untuk mengisi perut yang kosong sepanjang waktu persekolahan.
Wang ini sekiranya diurus dengan baik, tidak mustahil boleh dikumpul dan digunakan untuk perkara lain pula seperti menonton wayang dan berlibur atau lebih baik lagi untuk dilaburkan.
Cara paling mudah untuk mengurus wang ialah dengan menyediakan tabung supaya sebarang lebihan wang tidak hilang begitu sahaja atau digunakan tanpa disedari.
Tidak kira walaupun lebihan hanyalah 10 sen, jadikannya sebagai amalan untuk memasukkan wang ke dalam tabung.
Apabila tabung sudah penuh, minta pada ibu bapa untuk melaburkannya dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB). Tahukah anda mengapa wang perlu dilaburkan?
Ini kerana wang yang dilaburkan akan menerima keuntungan dalam bentuk dividen. Ini bermakna, wang akan bertambah dengan sendirinya menerusi keuntungan berkenaan.
Namun, jika wang dibiarkan dalam tabung, jumlahnya tidak akan bertambah dengan sendirinya ada kemungkinan habis digunakan kerana mudah dikeluarkan.
Sebagai contoh, anda berjaya mengumpul RM200 selepas berusaha memenuhkan tabung selama satu tahun.
Sekiranya wang ini dilaburkan dan menerima purata dividen tahunan sebanyak 4 peratus, anda akan menerima dividen sebanyak RM8 pada tahun pertama, RM16 pada tahun kedua dan RM25 pada tahun ketiga. Selepas tiga tahun, jumlah wang anda telah berkembang kepada RM225 tanpa anda perlu menambahnya.
Sekiranya lebih banyak wang dalam akaun pelaburan, maka lebih besarlah dividen yang akan diperoleh. Oleh itu, sentiasalah berusaha untuk menambah wang dalam akaun pelaburan dengan melaburkan duit raya atau duit hadiah yang diterima.
Pastikan juga anda terus melabur selepas bekerjaya supaya akaun pelaburan ini terus aktif dan menjadi sumber pendapatan pasif yang sentiasa ada tidak kiralah sama ada ia digunakan untuk meneruskan pengajian, membeli kereta pertama, sebagai deposit rumah dan sebagainya.
Tip menabung dan melabur
- Masukkan duit terus ke dalam tabung walau lebihan hanya 10 sen
- Tetapkan matlamat untuk memenuhkan tabung dengan pantas
- Laburkan wang dalam tabung setiap kali tabung penuh
- Wang yang dilaburkan berpeluang menerima keuntungan atau dividen
- Jangan biarkan sahaja wang dalam tabung kerana ia tidak menghasilkan pendapatan, malah mungkin habis digunakan