JOHOR BAHRU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang bermula esok ( Khamis) hingga 22 Ogos depan dijangka menjadi tumpuan susulan ketegangan politik antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan UMNO di peringkat pusat.
Menariknya, meskipun UMNO sudah mengumumkan menarik sokongan namun kerajaan negeri Johor di bawah PN yang diterajui Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad daripada UMNO dilihat masih kukuh.
Mengulas tentang isu keabsahan Menteri Besar Johor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian tidak menolak kemungkinan perkara itu akan menjadi tumpuan pada sidang DUN Johor.
Jelasnya, Bersatu Johor yang mempunyai 12 ADUN diketuai Pengerusi Bersatu Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir mempunyai starteginya sendiri.
Bagaimanapun Osman yang juga bekas Menteri Besar Johor enggan mendedahkan startegi terbabit sebaliknya berkata, segala perancangan yang dibuat bergantung kepada Pengerusi Bersatu Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Itu kita tak boleh bincangkan secara terbuka, sebab kita (Bersatu Johor) ada strategi. Tunggu dan lihat.
"Apa yang hendak dibuat Bersatu Johor mestilah dapat restu pucuk pimpinan. Kita ada keputusan tetapi tidak boleh keluarkan kenyataan dahulu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu Osman berkata, Menteri Besar (Datuk Hasni Mohammad) seharusnya menyatakan pendiriannya dalam soal politik berhubung sokonganya terhadap kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin di luar sidang DUN.
"Menteri Besar selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Johor perlu nyatakan sokongannya sama ada menyokong Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri terlebih dahulu, bukannya serah kepada sidang DUN untuk tentukan keabsahannya.
"Pada pandangan saya, sokongan terbabit perlu dinyatakan di luar sebagaimana dilakukan Ahmad Zahid dan kemudiannya baharulah di bawa berbincang di sidang DUN," katanya.
Pada 6 Ogos lalu, Hasni yang merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor menarik perhatian, apabila memberikan kenyataan berhubung keabsahannya sebagai Menteri Besar boleh dibangkitkan dan dibincangkan di sidang DUN kelak.
ADUN Benut itu dilaporkan berkata, persidangan DUN merupakan platform yang sesuai untuk menentukan keabsahan kerajaan negeri termasuk kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri.
Pendirian parti sama ada menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga akan dibuat pada sidang itu nanti.
Dalam pada itu, Osman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam berharap sidang DUN Johor akan menjadi medan perbincangan kepada semua ADUN berhubung isu menangani Covid-19 dan meningkat ekonomi negeri.
Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya iaitu UMNO dan DAP masing-masing 14, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (12), MIC (2), Pas (1) manakala Parti Amanah Negara (9) serta Parti Keadilan Rakyat (4).
Kerajaan Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang mendapat sokongan dari UMNO, Bersatu, MIC dan Pas memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang disertai DAP, Amanah dan PKR.
Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan supaya DUN Johor bersidang pada 12 Ogos ini (esok).
Baginda juga dilaporkan berkenan untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.