'Utamakan kepentingan negara, bukan rebut kuasa'

Iklan
Datuk Zuraida Kamaruddin

SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin menggesa ahli Parlimen mengutamakan kepentingan negara bukannya berterusan merebut kuasa dan kedudukan.

Beliau berkata, masing-masing perlu memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab yang dimandatkan iaitu berkhidmat kepada rakyat, melawan wabak Covid-19 di samping memulihkan semula ekonomi.

Iklan
Iklan

"Kami mengalu-alukan sebarang cadangan dan idea yang membina. Bukannya serangan bersifat partisan dan cemuhan yang tidak berkesudahan, malah tidak membantu rakyat.

"Kita sedang berdepan musuh halimunan yang cukup berbahaya. Selaku rakyat Malaysia, kita perlu bersatu untuk menentang musuh sebenar dan bukannya berterusan merebut kuasa dan kedudukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, tiada keperluan untuk mengadakan Sidang Khas Dewan Rakyat lebih awal sebagaimana didesak sesetengah pihak sebelum ini.

Menurutnya, tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan untuk mengadakan sidang tersebut pada September depan tidaklah terlalu lambat kerana ia kurang sebulan daripada sekarang.

Iklan

"Justeru, kami dinasihatkan untuk mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kami telah mengikuti nasihat itu,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Zuraida turut menyifatkan tindakan parti pembangkang yang terus menyatakan pendirian bahawa kerajaan sudah hilang majoriti itu seolah-olah pihaknya tiada perkara lain yang lebih penting dilakukan ketika ini.

Tegas beliau, sehingga kini pihak pembangkang tidak pernah mengumumkan calon yang jelas sebagai perdana menteri alternatif.

"Pembangkang sentiasa menyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya telah hilang majoriti, tetapi tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang boleh bersepakat untuk seorang calon tunggal.

"Ia menunjukkan perbalahan dalaman, pertikaian dan perpecahan dalam pihak pembangkang sendiri,” katanya.