Perkasa Kuala Kedah bantah himpunan jalanan desak PM letak jawatan

Iklan
Muhammad Asri (kanan) bersama dua ahli Perkasa Parlimen Kuala Kedah menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar pada Rabu.

ALOR SETAR - Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Parlimen Kuala Kedah membuat laporan polis pada Rabu bagi membantah perhimpunan jalanan untuk menuntut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada 21 Ogos depan.

Pengerusinya, Muhammad Asri Mustafa berkata, pihaknya membantah dan tidak bersetuju dengan perhimpunan berkenaan kerana negara masih berdepan dengan kemelut pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya menyedari perkara itu melalui hantaran di media sosial berhubung perhimpunan jalanan yang dijangka diadakadan di Kuala Lumpur untuk mendesak Perdana Menteri meletak jawatan pada Rabu.

"Susulan itu, saya membuat laporan polis kerana bimbang perhimpunan berkenaan akan menyukarkan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengawal dan membendung pandemik Covid-19.

Iklan

"Kebelakangan ini, kita dapati muncul varian Delta yang didakwa lebih cepat merebak dan boleh mengganggu apa juga tindakan serta aktiviti yang menyukarkan penjarakan fizikal," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhammad Asri berkata, pihak terbabit (penganjur) perlu ingat bahawa sebarang perhimpunan dan perarakan adalah dilarang sama sekali ketika tempoh Pelan Pemulihan Negara seperti mana diperuntukkan di bawah Akta 342 dan peraturan dibawahnya.

Iklan

Menurutnya, ahli politik dan mana-mana individu tidak berpuas hati sepatutnya menunggu pembukaan Parlimen pada bulan September, yang mana undi secara terbuka dan tulus dapat dibuat.

"Jadi, kami berpendapat sekiranya perhimpunan ini diteruskan ia menunjukkan ahli politik dan peserta melakukan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Asri berkata, pihaknya memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan menghalang penganjur dan peserta demi menjaga kesejahteraan rakyat Malaysia.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta yang merancang untuk mengadakan perhimpunan jalanan pada 21 Ogos ini.