KAMPAR - Masih ada pengusaha industri pelancongan di Perak yang belum bersedia sepenuhnya untuk menerima kunjungan pelancong, walaupun aktiviti itu dibenarkan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19 di negeri yang berada di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, pihaknya dimaklumkan proses vaksinasi yang belum selesai dalam kalangan pekerja, menjadi antara faktor utama beberapa penggiat industri pelancongan seperti pengusaha penginapan dan inap desa, belum bersedia menerima pelancong.
"Oleh itu, saya meminta kepada mereka yang terlibat iaitu daripada segi penginapan dan inap desa, mesti memastikan mereka bersedia sebelum membuka premis-premis ini kepada pelancong,” katanya kepada pemberita pada Pogram Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) Bersama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, di Kampung Changkat Tin di sini pada Rabu.
Beliau berkata, semua pengusaha industri pelancongan terutama dalam perkhidmatan penginapan diingatkan supaya memastikan mereka bersedia sepenuhnya, sebelum menerima pelancong dan bertanggungjawab memastikan kelonggaran diberi tidak memudaratkan masyarakat secara keseluruhan.
Katanya, para pelancong turut dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, sekali gus kebenaran melancong dapat dinikmati secara bersama dalam jangka masa yang panjang.
"Sekiranya kita ada kes-kes atau kluster yang timbul daripada aktiviti ini, semestinya ia akan memberi impak kepada kebenaran merentas daerah bagi tujuan pelancongan, jadi cukup penting untuk kita semua memainkan peranan dan memastikan tangungjawab kita,” katanya.
Mengenai program MOVAK di Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau itu, Nolee Ashilin menjelaskan, seramai 1,200 orang penduduk terpilih dijadualkan menerima vaksin selama dua hari, sebagai usaha pihak kerajaan untuk menjayakan program imunisasi khususnya di kawasan-kawasan luar bandar. - Bernama