BANGKOK - Polis Thailand mempertahankan tindakan anggotanya menggunakan kekerasan untuk menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan di Persimpangan Din Daeng, Bangkok pada Selasa, tempat yang sama berlaku pertempuran pada Sabtu.
Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan, Leftenan Jeneral Pakapong Pongpetra berkata, polis memutuskan untuk menggunakan gas pemedih mata, semburan air dan peluru getah terhadap penunjuk perasaan demi memastikan keselamatan orang ramai dan mengelak ‘lebih banyak kerosakan’.
"Jika kita tidak (guna kekerasan), mungkin lebih banyak kerosakan berlaku. Semua tindakan yang kita gunakan bertujuan untuk mengawal tunjuk perasaan,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: 6 polis cedera, 6 penunjuk perasaan ditahan di Bangkok
Pada hari sama, Mahkamah Awam Thailand menolak petisyen yang difailkan wartawan dan jurugambar yang terkena peluru getah ketika melaporkan demonstrasi di Bangkok bulan lalu.
Mahkamah menolak permohonan itu dengan alasan langkah itu diperlukan di bawah perintah darurat, lapor Thai PBS.
Namun, mahkamah mengarahkan pegawai polis untuk lebih berhati-hati.
Protes anjuran United Front of Thammasat and Demonstration itu mengulangi permintaan mereka agar Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha meletak jawatan kerana kelemahan kerajaan menangani situasi Covid-19 dan pengurusan vaksin yang perlahan.
Pakapong berkata, seramai 48 orang telah ditahan termasuk 15 remaja, dan 122 motosikal dirampas.
Kumpulan antikerajaan dan gerakan mahasiswa mengadakan lebih banyak tunjuk perasaan untuk menuntut perdana menteri berundur ketika Thailand bergelut dengan pandemik Covid-19.
Sementara itu, kes Covid-19 Thailand telah mencecah angka 800,000 selepas 21,038 lagi kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.
Sebanyak 207 kematian dilaporkan menjadikan jumlah korban meningkat kepada 6,795 sejak virus dikesan Januari tahun lalu. -Bernama