KUALA LUMPUR - Semua pihak harus menyokong Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (DKKPN) yang dilancarkan semalam oleh kerajaan bagi menentukan kejayaan dasar itu dalam melindungi kebajikan pekerja.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan dan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata semua pemegang taruh perlu memberi sokongan penuh serta komitmen dengan menterjemahnya menerusi tindakan bagi membantu mewujudkan budaya pekerjaan (OSH) yang selamat dan sihat di tempat kerja.
Iklan
Iklan
"Tujuannya ialah bagi memperbaiki tahap OSH menerusi pengurusan risiko yang mampan di tempat kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Lam Thye berkata dasar itu juga bagi memastikan majikan menyediakan sistem kerja yang selamat dan sihat dan menjaga kesejahteraan pekerja mereka.
"Pada masa yang sama, pekerja mesti memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan mereka sendiri dan orang lain di tempat kerja mereka," katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan DKKPN yang bertujuan untuk melindungi hak-hak pekerja dalam persekitaran kerja yang selamat, sihat dan kondusif.
Dr Wan Azizah berkata dasar yang diluluskan oleh Kabinet dan ditandatangani oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuktikan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.