KETIKA masih berduka dengan pemergian penyanyi kesayangan ramai, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin pada Isnin lalu, Merak Jalanan baru tersedar sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula kurang dua minggu sahaja lagi.
Tumpuan ramai terutama golongan ibu bapa kembali terarah kepada keselamatan anak-anak mereka kerana semua remaja di bawah 18 tahun masih belum menerima suntikan vaksin.
Tambahan pula, dakwaan penularan virus Lambda yang dikatakan ditemui tiga hari sebelum pembukaan temasya Olimpik Tokyo 2020 di lapangan terbang di Jepun benar-benar meresahkan.
Varian Delta yang mengambil masa 14 saat untuk berjangkit itu sudah cukup meresahkan, bayangkanlah ancamannya kepada anak-anak kita.
Ketika sedang sarapan pagi semalam, rakan Merak Jalanan berkongsikan satu pautan petisyen mendesak Kementerian Pendidikan menangguhkan pembukaan sekolah yang dijadualkan pada 1 September ini.
Petisyen yang dimulakan sejak lima hari lalu oleh individu bernama Awang Sulong ditujukan kepada Menteri KPM, Datuk Dr Radzi Jidin dan bekas menterinya, Dr Maszlee Malik.
Ia menyasarkan 100,000 tandatangan. Setakat jam 6 petang pada Rabu, kira-kira 25,000 tandatangan Berjaya dikumpulkan.
Mesej yang ingin disampaikan melalui petisyen itu sangat jelas. Keselamatan dan nyawa. Masih terbayang rakan-rakan rapat Merak Jalanan yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19.
Media akhir-akhir ini juga ada melaporkan kisah-kisah ibu mengandung yang tidak sempat divaksin akhirnya tewas dan meninggal dunia.
Persoalannya sekarang, bersediakah kita meletakkan para pelajar dalam keadaan berisiko dan terdedah kepada bahaya jangkitan pandemik ini?
Pada pendapat Merak Jalanan, pembukaan sekolah pada 1 September sangat berbahaya ketika kes Covid-19 masih tinggi, eloklah ditangguhkan hingga Malaysia mencapai imuniti kelompok.