KEADAAN politik di Malaysia tidak pernah berhenti dilanda badai yang kuat tidak kira masa, sama ada ketika pandemik atau dalam keadaan semasa yang lain.
Terbaru, landskap politik negara kembali berombak apabila ada spekulasi yang mengatakan pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berada dalam keadaan genting.
Dalam satu wawancara Malaysiakini bersama bekas Peguam Negara, Tommy Thomas mendakwa ada kemungkinan Muhyiddin akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
Bagaimanapun menurut Tommy, Yang di-Pertuan Agong harus menolaknya dalam keadaan kes jangkitan Covid-19 masih melonjak saban hari dan telah meragut lebih dari 11,000 nyawa di Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, pada Rabu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli Parlimen UMNO yang masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan agar menginsafi kewajipan dan tanggungjawab diamanahkan.
Desakan Ahmad Zahid dibuat supaya ahli Parlimen UMNO perlu sentiasa memihak kepada rakyat dan bukannya kepada mereka yang mahu mengekalkan kuasa meskipun dengan jelas gagal serta membelakangi keluhuran Perlembagaan serta Institusi Diraja.
Sementara itu, beberapa pemimpin politik komponen Perikatan Nasional (PN) dilaporkan memasuki bangunan Perdana Putra sekitar jam 4 petang pada Rabu.
Antara yang dikenal pasti hadir adalah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bagi menghadiri pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Difahamkan pertemuan itu bagi memeterai konsensus untuk mengekalkan sokongan terhadap Muhyiddin yang juga Pengerusi PN.
Jika dilihat pada masa kasar, pentadbiran Muhyiddin benar-benar teruji berbanding penyandangnya sebelum ini. Hal ini berlaku kerana beliau mempunyai majoriti kecil memerintah negara.
Betapa kestabilan politik dan penguasaan amat penting dalam mentadbir negara. Ketika ini rakyat semakin lelah dan hampir putus asa dengan drama politik bersiri yang disajikan saban hari.
Sampai bilakah kes tinggi jangkitan Covid-19 akan terus menjadi ‘talian hayat’ kepada kerajaan PN?
Mungkinkah Muhyiddin perlu mengadakan pilihan raya segera atau merombak barisan kabinetnya ataupun beliau sendiri berundur awal sebelum keadaan semakin tidak terkawal.