KANGAR - Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (IKAF) berhasrat melahirkan lebih ramai golongan penghafal al-Quran terutama dalam kalangan kanak-kanak melalui teknik memori fotografik yang lebih berkesan.
Pengerusinya, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, program melahirkan para penghafal al-Quran itu akan dilaksanakan melalui IKAF Quranic Academy (iQRA) yang dirasmikan di sini hari ini.
Bercakap kepada media selepas perasmian iQRA oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, beliau berkata, sebagai permulaan 21 pelajar cemerlang akademik daripada lima sekolah dipilih sebagai pelajar perintis program itu.
Mereka akan memulakan program itu pada Januari 2019 melalui kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Pendidikan Perlis.
"Kami akan menggunakan teknik hafalan al-Quran berkonsepkan"photographic quranic” yang akan membawa para pelajar seolah-olah berada di hadapan komputer,” kata Fathul Bari.
Setakat ini hanya pelajar berusia lapan tahun disaring untuk dipilih menjalani program itu, katanya.
Pada majlis itu, empat pelajar daripada Pusat Tahfiz Darul Siddir, Shah Alam yang telah menggunakan kaedah pembelajaran itu telah diundang membuktikan kebolehan hafalan mereka dengan cemerlang melalui soalan kuiz.
Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua MAIPs kelihatan teruja dengan kebolehan kanak-kanak itu begitu juga dengan para tetamu lain.
Turut hadir ke majlis itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan penceramah bebas Dr Zakir Naik. - Bernama