SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum (PRU) ketika pandemik Covid-19 boleh dilaksanakan jika kerajaan mengambil sembilan tindakan bagi memastikan rakyat dapat keluar mengundi dengan selamat.
Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, tindakan pertama ialah mempercepatkan proses vaksinasi dengan jangkaan imuniti kelompok dicapai pada akhir Oktober selain melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih ketat.
Menurutnya, tindakan lain ialah memanjangkan tempoh mengundi selama dua atau tiga hari tetapi melarang kempen dari rumah ke rumah kecuali di kawasan pedalaman.
"Ceramah perdana boleh dilaksanakan dengan SOP ketat mengadakan kempen menerusi televisyen (TV) atau media sosial.
"Beri juga tempoh siaran yang adil kepada semua parti yang bertanding untuk memperkenalkan manifesto masing-masing di samping menyesuaikan proses mengundi dengan normal baharu iaitu membenarkan undi pos dan undi ‘online biometrik’ bagi mengurangkan pengundi beratur.
"Mengadakan debat di TV bagi ketua setiap parti bertanding seperti debat pilihan raya Britain atau Presiden Amerika dan Indonesia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook milik beliau pada Khamis.
Mohammad Agus berkata, beliau mahu kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi yang betul bukan lompat parti apatah lagi ‘scheme of things’.
Menurutnya, sudah tiba masanya rakyat menilai pemimpin terbaik untuk menjadi Perdana Menteri malah membuat pembaharuan dalam sistem elektoral di negara.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, amat sukar sekiranya keabsahan Perdana Menteri masih menjadi pertikaian ketika ini.
"Media melaporkan blok kerajaan sekarang mempunyai 100 kerusi dan blok pembangkang 120. Untuk mengesahkan bilangan sokongan ini, parlimen adalah tempat terbaiknya, biarpun ia juga boleh dilakukan di luar dewan sepertimana kes politik Perak pada tahun 2009.
"Bagaimanapun, jika bubar dewan, belum tentu Agong setuju. Bubar dewan ini adalah kuasa budi bicara baginda (Perkara 40(2)(b),” katanya.