Patriotisme pertahan keselamatan, maruah negara

Iklan
Zulkifli Mohamad Al-Bakri

PUTRAJAYA - Rakyat berkewajipan memelihara kedaulatan Malaysia daripada segala ancaman sama ada dari dalaman mahupun luaran, atas kepentingan memupuk semangat patriotisme di dalam dunia globalisasi dan ledakan teknologi maklumat kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Islam telah menggariskan dengan jelas tentang patriotisme khususnya berhubung kait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan dan maruah negara apatah lagi jika sesebuah negara itu adalah negara umat Islam.

Iklan
Iklan

"Janganlah ada dalam kalangan kita yang bersikap mementingkan diri sendiri sehingga keharmonian dan kedaulatan di negara kita terancam, retak dan hancur.

"Semangat patriotisme juga menuntut kita agar patuh dan taat kepada pemimpin yang adil dan berpegang teguh kepada agama secara menyeluruh," katanya dalam ucapan pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), secara maya, pada Khamis.

Iklan

Mutakhir ini ujar beliau, pelbagai cara sedang dilakukan oleh musuh-musuh untuk melemahkan patriotisme ummah antaranya manipulasi fakta, pencemaran budaya, penyebaran racun akidah dan pemikiran yang dilakukan dan disebarkan antaranya melalui media sosial.

Beliau berpendapat, penjajahan minda di bawah media baharu yang canggih menjadikan ruang sosial tidak mempunyai sempadan lagi dan segala maklumat memenuhi ruang tanpa kawalan dan pemantauan yang berkesan.

Iklan

"Sekiranya perkara ini kita hadapi tanpa strategi dan perancangan yang teratur, dibimbangi akan menghakiskan semangat patriotisme rakyat di negara kita," katanya.

Beliau berkata, sikap tidak kasih kepada negara, memporak-perandakan negara, memusnahkan perpaduan kaum, dan mementingkan diri boleh menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara.

Beliau menyeru rakyat untuk bertekad dan berazam mengisi kemerdekaan dengan pembangunan dari segenap aspek sama ada fizikal, mental dan spiritual untuk memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa.

"Pupuklah nilai keprihatinan dalam diri kita dan masyarakat berteraskan keimanan dan ketaqwaan yang sejati agar semangat persaudaraan dan kasih sayang antara satu sama lain semakin utuh dan mantap.

"Suburkanlah budaya menghargai dan bersyukur dengan nikmat kemerdekaan ini dengan menghayati susah payah generasi terdahulu yang memperjuangkan jiwa dan raga menuntut kemerdekaan tanah air," katanya. -Bernama