GEORGETOWN - Polis mengesahkan tiada kes pemalsuan sijil digital vaksinasi dilaporkan di Pulau Pinang setakat ini.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, pemantauan pihaknya mendapati semua rakyat di negeri ini dilihat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Setakat ini, tiada lagi laporan mengenai penggunaan sijil digital vaksinasi palsu sama ada digunakan di sekatan jalan raya (SJR) atau di premis makanan.
"Saya berharap semua rakyat di negeri ini mematuhi SOP yang ditetapkan selain menyediakan tangkap layar (screen shot) aplikasi MySejahtera berhubung penerimaan dos suntikan vaksin," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya jangan sesekali terlibat dalam pemalsuan sijil digital tersebut.
"Jangan sesekali cuba ke arah untuk memalsukan sijil digital vaksinasi. Ia akan menyebabkan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 terjejas.
"Sekiranya kita mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab yang berani memalsukan sijil digital tersebut, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas," katanya.
Polis sebelum ini menasihatkan semua rakyat di negeri ini menyediakan 'screen shot' aplikasi MySejahtera berhubung penerimaan dos suntikan vaksin susulan Pulau Pinang antara negeri yang diberi kelonggaran untuk merentas daerah bermula Selasa.
Penduduk negeri ini diminta menyediakan tangkap layar itu menerusi telefon bimbit masing-masing bagi memudahkan pemeriksaan di SJR.
Menurutnya, selain itu, polis melalui ketua polis daerah akan membuat pemantauan di semua premis makanan bagi memastikan semua SOP 'dine-in' dipatuhi.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemudahan itu terbahagi kepada dua iaitu semua fasa dalam PPN dan kepada negeri yang berada di fasa dua dan seterusnya.
Menurut beliau, kebenaran rentas daerah dan negeri yang terpakai kepada semua fasa PPN melibatkan pasangan jarak jauh dan ibu bapa untuk bertemu anak.