Polis Thailand tahan 13 lagi penunjuk perasaan

Iklan
Penunjuk perasaan yang menaiki kereta dan motosikal menyebabkan bandar raya Bangkok sekali lagi menjadi kacau-bilau sehingga mencetuskan pertempuran dengan pihak polis.

BANGKOK - Polis Thailand menahan sekurang-kurangnya 13 penunjuk perasaan antikerajaan yang kembali mengadakan protes pada Rabu, hari kedua berturut-turut, menuntut Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berundur kerana kelemahan kerajaan menguruskan Covid-19.

Polis melepaskan gas pemedih mata, semburan air dan peluru getah untuk menyuraikan ratusan penunjuk perasaan di Persimpangan Din Daeng, tempat yang sama pertempuran berlaku pada Selasa dan Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Timbalan jurucakap polis, Kolonel Kissana Phathanacharoen berkata, lapan anggota polis cedera akibat terkena mercun dan bom ping pong.

"Sebanyak 13 penunjuk perasaan ditangkap dan berdepan tuduhan termasuk melakukan serangan dan merosakkan harta benda awam serta melanggar sekatan Covid-19 dan larangan perhimpunan awam," katanya pada sidang media pada Rabu malam.

Iklan

Jumlah penunjuk perasaan yang cedera tidak diketahui tetapi Pusat Perubatan Erawan melaporkan sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan cedera dalam pertempuran itu.

Pada Rabu, penunjuk perasaan yang digerakkan oleh kumpulan Tha Lu Fah berkumpul di Monumen Kemenangan pada 3 petang (waktu tempatan) dan merancang untuk berarak ke kediaman Prayuth di markas Rejimen Infantri ke-1 di Jalan Vibhavadi Rangsit.

Iklan

Namun, sebilangan penunjuk perasaan mula melemparkan objek termasuk cat dan mercun ke arah polis yang bertindak balas dengan gas pemedih mata dan peluru getah.

Susulan itu, kira-kira sejam kemudian, penganjur menghentikan perhimpunan. Namun, ramai yang enggan pulang dan mereka bergerak ke Persimpangan Din Daeng, polis bertindak menutup jalan masuk ke rumah perdana menteri menggunakan kontena.

Polis turut melepaskan peluru gas pemedih mata dan peluru getah untuk memaksa penunjuk perasaan bersurai, namun kumpulan itu bertindak balas dengan melastik dan melemparkan mercun dan bom ping pong ke arah pihak berkuasa.

Penunjuk perasaan yang enggan bersurai itu turut membakar sebuah kenderaan dan merosakkan kereta polis.

Beberapa minggu kebelakangan ini penunjuk perasaan antikerajaan kembali mengadakan bantahan dan setakat ini polis menahan 48 orang termasuk 15 remaja dan merampas 122 motosikal. -Bernama