MELAKA - Dua ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas 20 pertuduhan memalsukan watikah dan menggunakan gelaran Datuk palsu.
Tertuduh, Tuah Shah Abdul Rahman, 48, dan Zainal Abu Bakar, 48, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Bagi pertuduhahan pertama sehingga 10, Tuah Shah didakwa membuat empat watikah Darjah Mulia Seri Melaka (D.M.S.M), tiga watikah Jaksa Pendamai Negeri Melaka (J.P), dua watikah Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) dan satu watikah Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M).
Kesemua kesalahan itu dilakukan tanpa kebenaran Ketua Menteri Melaka di Kampung Ladang Krubong antara 7 September tahun lalu hingga 5 Februari 2021.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 3(1)(b) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (mencegah penggunaan yang tidak betul) (Pindaan)2016 Enakmen 1981.
Rakannya, Zainal didakwa dengan lapan pertuduhan menggunakan gelaran Datuk palsu pada empat resit membabitkan tiga buah syarikat perniagaan tayar dan surat keizinan penggunaan pada kenderaan tanpa kebenaran Ketua Menteri Melaka bagi tujuan peribadi.
Tertuduh juga didakwa telah menggunakan gelaran Datuk palsu pada cop ‘Salinan Diakui Sah’ dan pada kad Ahli Majlis Datuk Kehormat Malaysia serta kad perniagaan Kafa Kiramas Network.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di Taman Merdeka, Batu Berendam antara 3 Februari sehingga 27 Februari 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (mencegah penggunaan tidak betul) (Enakmen 21) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5, enakmen sama.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM500,000, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, mereka juga berdepan dengan dua pertuduhan iaitu secara bersama telah menipu dua individu bergelar Datuk dengan memperdayakan dalam urusan mendapatkan watikah D.G.S.M sehingga mendorong mangsa membuat bayaran keseluruhan RM200,000.
Kesalahan itu dilakukan di Maybank Jalan Hang Tuah antara 2 Oktober tahun lalu dan 2 Februari 2021.
Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof dan Muzila Arshad mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 September depan.