PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyarankan umat Islam di negara ini memperbanyakkan munajat supaya terpelihara dan dijauhkan daripada kehancuran.
Menurutnya, ia sebagai salah satu usaha mendepani pandemik Covid-19 yang semakin meruncing.
"Masyarakat disarankan memperbanyakkan munajat dan doa agar negara ini sentiasa berada dalam rahmat ALLAH SWT, dijaga keselamatan dan keamanan dan dijauhi daripada kehancuran," katanya ketika melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Agensi Agama secara maya pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh.
Mengulas lanjut, Zulkifli turut menyarankan kakitangan di bawah agensinya mengamalkan lima cara bagi memupuk semangat patriotisme dalam tempoh pandemik Covid-19.
Beliau berkata, mereka boleh mengibarkan Jalur Gemilang di pejabat, premis, kenderaan, kediaman serta di lokasi sesuai.
"Warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disarankan berazam untuk mengisi kemerdekaan ini dengan pembangunan daripada segenap aspek sama ada fizikal, mental dan spiritual dan dibangunkan dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa.
"Selain itu, nilai keprihatinan dalam diri kita dan masyarakat berteraskan keimanan dan ketakwaan perlu dipupuk supaya semangat persaudaraan dan kasih sayang antara satu sama lain semakin utuh," katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli turut menekankan setiap kakitangannya memupuk sikap menghargai dan bersyukur dengan nikmat kemerdekaan serta menghayati kesukaran generasi terdahulu yang memperjuangkan jiwa dan raga menuntut kemerdekaan tanah air.
Sehubungan itu katanya, menjadi kewajipan sebagai rakyat untuk memelihara kedaulatan negara daripada segala ancaman.
"Janganlah ada dalam kalangan kita yang bersikap mementingkan diri sendiri sehingga keharmonian dan kedaulatan di negara terancam, retak dan hancur.
"Semangat patriotisme juga menuntut kita agar patuh dan taat kepada pemimpin yang adil dan berpegang teguh kepada agama secara menyeluruh," ujar beliau.
Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Malaysia Prihatin, kekal seperti tahun lalu bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan rakyat dan kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.