Hamzah tolak rayuan pendaftaran Muda

Iklan
Hamzah Zainuddin

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menolak permohonan rayuan pendaftaran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Menerusi surat yang dikongsi oleh Muda kepada media, keputusan itu dibuat Hamzah berdasarkan Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355).

Iklan
Iklan

Surat berkenaan bertarikh 11 Ogos dan turut ditandatangani oleh Hamzah tidak memaklumkan sebarang alasan penolakan rayuan tersebut.

Sementara itu, Naib Presiden Muda, Lim Wei Jiet berkata, pihaknya kesal dengan keputusan itu dan akan mencabar di mahkamah dalam masa terdekat.

Iklan

"Taktik kotor kerajaan minoriti Perikatan Nasional (PN) ini tidak akan melemahkan semangat kami untuk terus menjadi semak dan imbang kepada kegagalan kepimpinan yang ada pada hari ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Wei Jiet, semakan kehakiman Muda terhadap Hamzah dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sepatutnya berlangsung pada jam 12 tengah hari Khamis, namun ditangguhkan kepada 18 Ogos depan.

Iklan

"Beberapa minit sebelum pendengaran bermula, Peguam Persekutuan memaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri telahpun membuat keputusan berkenaan rayuan pendaftaran Muda," katanya.

Wei Jiet yang juga peguam Muda berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkembangan tersebut.

"Barisan penaja Muda baru sahaja dimaklumkan melalui kiriman e-mel dari RoS bahawa Menteri Dalam Negeri bahawa telah menolak rayuan Muda untuk didaftarkan," katanya.

Muda menerusi pengasasnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menghantar permohonan pendaftaran Muda sebagai parti pada 17 September 2020, namun ditolak RoS pada 6 Januari 2021.

Muda kemudiannya menghantar surat rayuan kepada RoS dan Hamzah pada 4 Februari.