KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melonggarkan syarat kelulusan penerima bantuan antaranya membabitkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang membolehkan golongan M40 turut dibantu bermula Julai lalu.
Ketua Pegawai Pembangunan MAIK, Mohd Azman Ghazali berkata, langkah diambil berlandaskan keprihatinan MAIK terhadap kesukaran yang dihadapi bukan sahaja oleh B40 malah segenap lapisan masyarakat ketika ancaman pandemik Covid-19.
Menurut beliau, dalam keadaan luar biasa wabak yang melanda menyebabkan peningkatan drastik permohonan bantuan diterima MAIK hingga mencecah RM40,000 dalam tempoh dua minggu awal perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Bukan kalangan B40 sahaja yang terjejas semasa pandemik malah ada ramai M40 hilang pekerjaan serta sukar meneruskan kehidupan.
"MAIK membantu mereka menerusi pakej Perangsang MAIK dengan bantuan antara RM350 sehingga RM500 sebagai modal memulakan perniagaan,” katanya kepada pemberita di Lembah Sireh di sini pada Khamis.
Beliau sebelum itu menyampaikan bantuan bakul makanan pada Program Prihatin MAIK Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan dengan kerjasama Gabungan Tiong Hwa Kelantan.
Hadir sama, Presiden Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan, Datuk Oie Poh Choon dan Pengerusi Persatuan China Muslim Malaysia (MACMA) cawangan Kelantan, Dr Johari Yap.
Mengulas lanjut, Mohd Azman berkata, pakej Perangsang MAIK dilaksanakan di bawah Program Bantuan MAIK 2021 menerusi peruntukan berjumlah RM15.6 juta dengan dua lagi pakej iaitu Projek Pemangkin Kontraktor Kecil dan Bantuan Prihatin MAIK.
"Menerusi Bantuan Prihatin MAIK sejumlah 30,500 bakul makanan diagihkan dan masih ada 3,000 akan datang.
"MAIK juga menjalinkan kerjasama dengan NGO bagi memastikan agihan bantuan lebih menyeluruh kepada golongan terjejas,” katanya.
Dalam perkembangan lain, menurut Mohd Azman, MAIK berharap pemberian elaun tambahan kepada imam tua dan imam muda sebanyak RM150 dan bilal RM50 oleh kerajaan negeri yang diumum sebelum ini dapat membantu kumpulan itu.
"Jumlah keseluruhan elaun diterima imam tua RM1,850 dan imam muda RM1,350 bagi masjid mukim kategori A, manakala bilal menerima elaun keseluruhan RM800.
"Pembayaran elaun tambahan melibat lebih 1,000 imam dari 587 kategori masjid mukim A, besar dan kecil seluruh negeri Kelantan berkuatkuasa mulai Julai 2021,” katanya.