Premis terlibat judi online ditutup ikut undang-undang

Iklan
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU - Semua penutupan premis yang terlibat dengan kegiatan judi di negeri Johor dalam operasi baru-baru ini dilakukan secara sah mengikut undang-undang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan mendapati terdapat premis beroperasi sebagai kedai runcit dan perniagaan tambah nilai di bahagian depan tetapi di bahagian belakang menjalankan judi dalam talian.

Iklan
Iklan

"Mereka terlibat dalam aktiviti judi. Kalau mereka mahu berniaga kena ikut undang-undang. Kalau nak berniaga, berniaga betul-betul, jangan di luar kedai 'topup' (tambah nilai) tapi di dalam tempat judi.

"Kita ambil tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Iklan

"Kita akan minta Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik terhadap mana-mana kedai yang terlibat kegiatan ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Pada 31 Ogos lalu, beberapa kedai di pekan Labis, Segamat diarahkan tutup dan dipotong bekalan elektrik selepas dikesan menjalankan kegiatan judi secara dalam talian.

Iklan

Peniaga berkenaan mendakwa, pihak polis tidak mempunyai bukti mereka melakukan kegiatan tersebut sebelum mengadu perkara tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Dr S Ramakrishnan.

Ramakrishnan yang juga Naib Pengerusi DAP Johor dalam satu kenyataan pada Rabu, mempertikaikan tindakan itu dan berharap bekalan elektrik disambung semula dan peniaga berkenaan dibenarkan berniaga seperti biasa.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, premis-premis yang terbabit boleh membuat rayuan dan pihaknya akan membuat penilaian serta pertimbangan.

Beliau berkata, kegiatan judi dalam talian dikesan meningkat sejak tiga atau empat bulan lalu berkemungkinan disebabkan perniagaan mereka kurang mendapat pelanggan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tegas beliau, operasi seperti itu akan dilakukan secara berterusan dalam melumpuhkan kegiatan judi dalam talian di negeri ini.