KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO menuntut supaya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera menyelesaikan isu keabsahan beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tanpa perlu menunggu sidang Dewan Rakyat pada September ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, isu berkenaan amat kritikal dan serius kerana memberi implikasi besar terhadap segala urusan pentadbiran dan hal negara.
"Ini termasuklah status keabsahan sebarang kelulusan oleh perdana menteri terhadap dasar-dasar dan polisi baharu kerajaan.
"Selain itu, status keabsahan segala pinjaman yang dibuat oleh kerajaan termasuk terbaharu berjumlah RM11.5 bilion.
"Turut boleh dipersoalkan adalah status segala kontrak dan waran yang diluluskan oleh perdana menteri yang sudah hilang keabsahan," katanya pada sidang akhbar khas di Menara Dato' Onn di sini pada Khamis.
Menurut Asyraf Wajdi, isu paling besar apabila seseorang perdana menteri sudah hilang keabsahannya maka di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri sudah hilang kuasa yang diperuntukkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong.
"Justeru, Pemuda UMNO mendesak agar perdana menteri segera meletakkan jawatan lantaran sudah hilang majoriti sokongan ahli Parlimen.
"Ia sekali gus mengelakkan implikasi besar terhadap keabsahan segala urusan kerajaan dan negara yang boleh dipersoalkan kelak," katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, pada Khamis juga Pemuda UMNO membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berkenaan keabsahan status Muhyiddin mengikut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, tindakan itu diambil berasaskan dua faktor iaitu warkah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertarikh 30 Julai lalu berserta 14 surat akuan ahli-ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
Faktor kedua, berkenaan tular surat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menjawab warkah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa kedudukan mutakhir bilangan ahli Dewan Rakyat yang menyokong Muhyiddin kini tinggal 100 orang sahaja.
"Berdasarkan dua faktor di atas, perdana menteri seolah-olah sudah hilang keabsahannya dan mesti meletakkan jawatannya berasaskan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan," katanya.