Seramai lapan penyanyi daripada lapan kumpulan muzik yang pernah popular sekitar era 90-an telah mengembalikan nostalgia kira-kira 450 penonton termasuk yang datang dari Singapura dan Brunei.
Penyanyi yang terlibat menjayakan persembahan Artis Lagenda 90-an Showcase Amal ini adalah Nizam Laksamana, Renggo Arrow, Zamani Slam, Tia Jinbara, Bagio Damasutra, Amir Ukay’s, Gmie Screen dan Ameng Spring.
Zamani
Menurut Nizam, idea untuk menjayakan persembahan bersama rakan-rakan artis tercetus sejak tahun lalu namun baru sekarang dapat direalisasikan.
"Jika ada apa kekurangan saya mohon maaf kerana saya masih belajar dalam mengendalikan acara begini. Apapun saya berterima kasih kepada kawan-kawan yang menjayakan persembahan amal ini.
"Bila saya berkata pada mereka, syarikat saya nak buat persembahan mengutip dana untuk membantu ibu tunggal, anak-anak yatim dan gelandangan, mereka tak banyak soal dan terus setuju.
"Untuk permulaan saya hanya mampu menjemput tujuh rakan artis saja. Itu pun ada yang nak sertai lagi. Mungkin kalau ada peluang lagi bolehlah buat acara untuk seterusnya," jelas Nizam teruja.
Iklan
Pada acara itu juga, Nizam mewakili rakan-rakan lain turut menghulur sumbangan kepada Juriah Bachok, balu kepada Allahyarham Saleem Iklim. Segmen khas yang dinyanyikan bersama secara medley juga dibuat bagi mengingati rakan-rakan artis yang telah pergi seperti lagu Di Alam Fana Cinta (Shamrin Fotograf), Salam Terakhir (Sudirman), Cinta Untuk Nabila (Radzi Melissa) dan Suci Dalam Debu (Saleem iklim).
Artis Lagenda 90-an Showcase Amal anjuran Nizam Laksamana Production dan anjuran bersama Saudagar Seni ini telah diadakan di Hotel EDC, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.