Peniaga Uptown Danau Kota akan dipindahkan

Iklan
Yee Kew berkongsi perkembangan cadangan penyelesaian aduan Uptown Danau Kota yang dibangkitkan penduduk.

KUALA LUMPUR - Peniaga Uptown Danau Kota, Setapak di sini akan dipindahkan ke lokasi baharu sebagai menyelesaikan isu halangan dan kesesakan trafik di kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memutuskan menyediakan kawasan perniagaan kondusif di Jalan Genting Klang bersebelahan JPJ Wangsa Maju sebagai tapak kekal operasi peniaga tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek pembinaan di lokasi baharu itu bakal mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun enam bulan.

"Sementara projek siap, DBKL akan mengarahkan peniaga berpindah ke tapak sementara di Taman Setapak Indah enam bulan dari sekarang atau selepas Ramadan.

Iklan

"Saya dapat sokongan penuh dari kerajaan baharu untuk memastikan pemindahan kali ini berlaku bagi menyelesaikan isu yang ditanggung penduduk sejak 11 tahun lalu," katanya dalam pertemuan bersama penduduk di Surau Al-Amin, Taman Setapak Indah di sini baru-baru ini.

Jelasnya, penyusunan semula tapak niaga itu juga adalah bagi menyelesaikan eksploitasi oleh penganjur kepada peniaga.

Iklan

"Tiada lagi penganjur yang akan uruskan bazar larut malam itu selepas DBKL mengambil alih pengurusan. Penganjur sebelum ini eksploitasi peniaga kutip sewa RM1, 000 hingga RM3, 000 pada bulan Ramadan dengan peroleh untung RM30,000 sebulan.

Penduduk yang hadir mendengar perkembangan penyelesaian isu Uptown Danau Kota.

"Ini bisnes besar dan peniaga makin hari makin ramai itu sebab penganjur tak nak pindah. Bukan kerajaan halang orang cari makan tapi caranya tak betul dan menjejaskan penduduk sekitar," katanya.

Ditanya mengenai perancangan tersebut telah dibincangkan dengan penganjur atau sebaliknya, jelasnya hal itu tiada keperluan disebabkan pengeluar lesen adalah di tangan DBKL.

"Projek bazaria melibatkan pembinaan bangunan besar yang selesa dengan kemudahan serba lengkap malah peniaga diberikan lesen sah untuk berniaga tanpa menggunakan orang tengah," katanya.

Pengumuman itu memberikan kelegaan kepada penduduk yang menanggung masalah kesesakan trafik dan risiko jenayah pecah rumah susulan aktiviti perniagaan di Uptown Danau Kota itu.

Menurut Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Islam (PKPI) Surau Al-Amin, Mohd Nordin Sulaiman berkata, perancangan penyelesaian oleh DBKL itu diharapkan berjaya di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

"Aktiviti niaga itu menyebabkan kami penduduk terdedah kepada risiko jenayah pecah rumah disebabkan terlalu ramai orang luar yang datang ke sini. Kes banyak ada antaranya rumah jiran dipecah masuk sewaktu pergi bercuti.

Yee Kew mendengar luahan perasaan penduduk.

"Usaha meningkatkan keselamatan melalui penubuhan Skim Rondaan Sukarela pernah cuba dijalankan namun tidak berjaya disebabkan kurang mendapat sambutan penduduk dan terbantut selepas jawatankuasa yang baharu tidak menyambung usaha pembentukan itu," katanya.

Pengusaha stesen minyak Petronas, Mohd Hairul Anuar Amin berkata, beliau antara yang terkesan dengan operasi Uptown Danau Kota itu apabila peniaga menutup laluan keluar di stesen minyaknya dengan memasang gerai.

"Sekarang pelanggan stesen minyak saya hanya ada satu laluan sahaja dan dengan keadaan kesesakan di kawasan itu menyebabkan perniagaan saya kurang baik selain kemudahan yang disediakan untuk pelanggan turut digunakan pengunjung uptown termasuk tandas yang sudah seperti tandas awam.

"Saya boleh pendekkan waktu operasi tapi saya kena ambil pengawal keselamatan untuk jaga stesen minyak saya pula untuk pastikannya berada dalam keadaan baik pada keesokan hari," katanya.

Katanya, peniaga bazar larut malam itu turut tidak mengendahkan aspek keselamatan apabila berani memasak bersebelahan stesen minyak.

"Jika berlaku kebocoran tangki minyak, saya khuatir api dari gerai makan menyebabkan berlakunya kebakaran. Hal ini telah beberapa kali dibangkitkan namun kebimbangan saya ini tidak diambil perhatian pihak berkaitan.

"Masa saya ambil alih stesen minyak pada 2006 masalah gangguan tidak ketara namun menjadi semakin tidak terkawal tiga tahun selepas itu dan semakin teruk apabila kedai makan diletakkan berhampiran stesen saya," katanya.