ANKARA - Anggota-anggota penyelamat Turki memindahkan para pesakit sebuah hospital dan penduduk kampung yang terperangkap di atas bumbung ketika banjir kilat dan gelongsoran lumpur melanda kawasan pantai Laut Hitam.
Seorang individu dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika kejadian itu manakala seorang wanita dibawa arus deras dan masih dikategorikan hilang.
Kementerian Kesihatan berkata, lapan orang turut dihantar ke sebuah hospital selepas sebuah jambatan runtuh.
Menteri Perhutanan dan Pertanian Turki, Bekir Pakdemirli berkata, pihaknya berdepan dengan bencana yang tidak pernah dilihat dalam tempoh 50 tahun atau 100 tahun lalu.
Banjir kilat di sepanjang pantai utara Turki berlaku ketika anggota-anggota bomba berjaya mengawal kebakaran hutan di bahagian selatan negara tersebut yang
mengakibatkan lapan orang terbunuh sejak Julai lalu.
Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca membuat ciapan menerusi Twitter bahawa sebuah hospital yang mempunyai 45 pesakit iaitu empat daripadanya berada di unit rawatan
rapi telah dipindahkan ke wilayah utara, Sinop kerana banjir.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu berkata, paras air telah mencecah sehingga tiga ke empat meter di beberapa wilayah di sepanjang pantai Laut Hitam.
Salah satu imej televisyen menunjukkan sejumlah kereta dan van dibawa arus air yang deras di sepanjang jalan di bandar Kastamonu, utara negara tersebut. - Agensi