Tokyo 2020: Apa sudah jadi sasaran lain?

Iklan
Temasya Olimpik Tokyo 2020 berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos lalu. FOTO: AFP Gambar kecil: PEKAN

KONTINJEN Malaysia harus melakukan penilaian secara menyeluruh terhadap prestasi di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan bukan menjadikan kejayaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang sebagai penyelamat, menurut penganalisis sukan.

Dr Pekan Ramli berkata, pertamanya, kontinjen negara tidak meraih pingat emas pertama Olimpik seperti disasarkan di bawah Program Podium yang dilancarkan pada 2016, selain menyaksikan Malaysia tidak mencapai kedudukan 10 terbaik di Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018.

Iklan
Iklan

Beliau turut mempersoalkan sama ada satu perak dan satu gangsa dimenangi di Tokyo adalah pulangan setimpal untuk berjuta ringgit yang dibelanjakan bagi mempersiapkan atlet negara ke Tokyo lima tahun lepas.

Pekan yang juga Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi menekankan bahawa Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan kerana negara dan atlet lain juga mengalami situasi sama susulan pandemik itu yang kembali meruncing sejak awal 2020.

Iklan

"Kalau kita lihat pada pencapaian keseluruhan, tidak membanggakan sangat. Boleh dikatakan sebagai tiga kegagalan, iaitu sasar tiga pingat tapi hanya mendapat dua, sasaran emas pertama tidak tercapai dan (bagi badminton) orang lain yang disasar meraih pingat tapi orang lain yang beraksi bermatian-matian untuk meraih pingat.

"Pandemik bukan hanya melanda negara kita negara lain pun terkesan, tapi saya rasa ada sebab lain menyebabkan mereka cemerlang di Olimpik. Selepas sasaran tersasar di Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA 2019, kita dah patutnya tahu sama ada berada di landasan tepat atau tidak,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan

Pada temasya Olimpik Tokyo 2020 dari 23 Julai hingga 8 Ogos lalu, kontinjen Malaysia terdiri daripada 30 atlet dalam 10 jenis sukan, gagal mencapai sasaran tiga pingat, dengan satu daripadanya pingat emas, dan pulang dengan masing-masing sebutir perak dan gangsa.

Mohd Azizulhasni menghadiahkan pingat perak dalam acara keirin lelaki manakala gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gangsa acara badminton beregu lelaki.

Walaupun merasakan agak terlambat kerana hanya tinggal tiga tahun sahaja lagi untuk Sukan Olimpik Paris 2024, namun Pekan berpendapat perlu ada perancangan dan projek khas untuk temasya 2024 serta seterusnya.

Hanya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sahaja dilihat telah merangka pelan melepasi Olimpik Tokyo, iaitu Projek 2024 yang dilancarkan pada September 2019 dengan matlamat untuk meraih pingat emas di Olimpik Paris dan menempah slot ke final Piala Thomas.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, kebergantungan terhadap atlet ‘otai’ atau berpengalaman juga harus dikurangkan, dengan mengenal pasti dan melatih bakat muda yang berpotensi mencabar saingan pingat di peringkat antarabangsa.

Contoh, penerjun berusia 14 tahun dari China, Quan Hongchan yang menguasai acara 10 meter (m) platform wanita di Tokyo, Pekan berkata atlet negara perlu menetapkan dalam minda bahawa mereka bertanding di Olimpik adalah untuk memenangi pingat, bukan menganggap kelayakan mereka ke Olimpik sebagai satu kejayaan.

"Penetapan minda macam itu tak boleh ada untuk Olimpik, belum tentu pasti untuk Olimpik seterusnya atlet itu layak, jadi mereka perlu faham apabila menyertai Olimpik, tak kira sama ada secara merit atau ‘wild card’, anggaplah ia sebagai penyertaan pertama dan terakhir untuk berikan aksi terbaik.

"Atlet juga perlu sedar penyertaan di beberapa edisi Olimpik bukan untuk jumlah penyertaan tertinggi semata-mata...Kalau empat kali masuk Olimpik, dah 16 tahun, sekadar menyertai tanpa menang pingat. Kena pastikan prestasi baik,” katanya.

Selain itu, Pekan mencadangkan bahawa sasaran pingat Olimpik sepatutnya ditetapkan satu atau dua tahun sebelum temasya, dengan mengenal pasti sukan dan siapa atlet supaya fokus dan hala tuju tepat, tetapi mengakui ia sukar dengan proses kelayakan yang mengambil tempoh sehingga beberapa bulan sebelum temasya bermula.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Panel Pakar Kementerian Belia dan Sukan, Datuk V Radhakrishnan beranggapan bahawa pencapaian kontinjen negara adalah biasa dengan beberapa atlet dilihat tidak bersedia dari segi mental untuk menghadapi cabaran di peringkat lebih tinggi.

Beliau juga kecewa apabila Malaysia masih lagi belum meraih pingat emas pertama Olimpik selepas 65 tahun penyertaan sedangkan negara Asia Tenggara lain seperti Thailand dan Indonesia sudah menambah koleksi emas pada edisi di Tokyo sementara Filipina meraih pingat emas pertama.

Radhakrishnan, memuji semangat juang dan prestasi dipamerkan Mohd Azizulhasni di Tokyo, namun merasakan kontinjen negara lebih melihat kepada potensi pelumba itu untuk meraih emas tanpa mengkaji sepenuhnya keupayaan sebenar dan strategi pihak lawan.

Bekas Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) itu bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bahawa perlu ada perubahan besar bagi setiap jutaan ringgit dibelanjakan untuk Program Podium dalam memastikan hasil lebih baik di Paris 2024.

"Pembuat keputusan perlu bertindak segera dan kembali merangka perancangan kerana polisi perlu berubah 360 darjah. Kita tidak punya banyak masa sebelum Olimpik seterusnya, dalam masa beberapa bulan akan datang kita akan menghadapi Sukan SEA di Hanoi, Sukan Komanwel 2022 di Birmingham dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou. Jadi, kita perlu segera mengenal pasti potensi.

"Perkara menyedihkan, (adalah) setiap kali temasya berakhir, ‘post-mortem’ akan dilakukan tetapi hasilnya tidak didedahkan atau tiada tindakan lanjut. Jadi, apa gunanya selalu mengatakan bahawa kita akan meneliti perkara berkenaan sedangkan tiada apa yang dilakukan?

"(Hasil) post-mortem perlu didedahkan dan tidak perlu dirahsiakan kerana apabila mahukan sokongan, seluruh negara menyokong. Tapi apabila gagal, kita tidak mahu dedahkan mengapa kita gagal,” katanya. - Bernama