GLIC sambut baik inisiatif Perkukuh bantu tambah baik prestasi

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mengalu-alukan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) yang disasarkan untuk meningkatkan prestasi di samping membantu mereka bersiap siaga dengan amalan terbaik.

Inisiatif tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.

Iklan
Iklan

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, sejajar dengan keperluan masa kini, usaha dan langkah perlu diambil bagi mendepani persekitaran global yang semakin kompetitif walaupun GLIC telah menjadi tonggak pembangunan ekonomi Malaysia sejak enam dekad yang lalu.

"Perkukuh adalah platform tepat bagi Malaysia untuk menghadapi krisis masa kini. Tidak dinafikan pandemik ini memberi cabaran hebat, namun kita telah mengatasi pelbagai cabaran ekonomi sebelum ini dan kini sudah tiba masanya untuk GLIC menerajui fasa transformasi baru bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” kata Amrin dalam satu kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: PERKUKUH susun semula peranan, perbaharui kemampuan GLIC: PM

Iklan

Katanya, Perkukuh juga memberi peluang kepada TH untuk menyusun semula dan memperkukuhkan urus tadbir dan kedudukan kewangannya.

Khazanah Nasional Bhd berkata, dalam memainkan peranannya dalam inisiatif koordinasi ekosistem pertumbuhan baharu di bawah Perkukuh, ia akan memberikan sokongan yang diperlukan kepada Kementerian Kewangan bagi melaksanakan pendekatan pihak berkepentingan yang terangkum dalam usaha untuk memperkemaskan lagi koordinasi serta proses bagi mencapai objektif memacu sumber pertumbuhan ekonomi baharu.

Iklan

"Khazanah akan mengemukakan perincian lanjut dari semasa ke semasa apabila inisiatif khusus yang berkaitan Perkukuh dilancarkan,” kata dana pelaburan negara itu dalam satu kenyataan berasingan sambil menambah ia akan terus memperkemaskan lagi strategi dan proses pelaburannya untuk pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab.

Sementara itu sebagai pelabur institusi yang berobjektifkan untuk mengoptimumkan pulangan bagi ahli secara lestari, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyokong penuh inisiatif untuk memperkenalkan Dana Pelaburan Hijau bercirikan ‘opt-in’ yang akan memperkasakan ahli untuk membuat pilihan pelaburan yang mencerminkan nilai dan matlamat peribadi.

"Inisiatif jangka masa sederhana hingga panjang ini juga akan menyumbang kepada komitmen kelestarian KWSP, di samping mencapai objektif sosioekonomi nasional dalam merancakkan ekonomi hijau dan menggalakkan impak sosial yang positif,” katanya.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Arifin Zakaria pula berkata, pengurus dana itu akan memperuntukkan sumber yang besar untuk alam sekitar, sosial, tadbir urus (ESG)) bagi memastikan peralihan portfolio pelaburan ke arah model dan amalan perniagaan mampan.

"Pada pandangan kami, pulangan mampan jangka panjang hanya boleh diperoleh daripada amalan lestari,” katanya dalam satu kenyataan. - Bernama