Pasar Perantau 'hadiah' buat arwah ayah

Iklan
Pengasas Pasar Perantau, platform pasar basah secara dalam talian Wan Muhd Firdaus Wan Muhd Shukeri, 35, memeriksa tempahan pelanggan sebelum melakukan proses menghantar. - Foto Bernama

KOTA BHARU - Ibarat pemberian 'hadiah' kepada arwah ayahnya yang meninggal dunia akibat Covid-19. Begitulah inisiatif seorang anak jati Kelantan mewujudkan sebuah platform pasar basah secara dalam talian iaitu www.pasarperantau.com (Pasar Perantau).

Pengasasnya, Wan Muhd Firdaus Wan Muhd Shukeri, 35, berkata, platform itu bagi membantu permudahkan anak perantau membeli barangan basah untuk ibu bapa di kampung dan mereka yang tinggal di sekitar daerah ini, sekali gus dapat menghindari dijangkiti Covid-19.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, idea mewujudkan Pasar Perantau tercetus semasa arwah ayahnya, Wan Muhd Shukeri Wan Ismail, 65, dijangkiti Covid-19 pada pertengahan Februari lepas sebelum meninggal dunia pada 27 Mac lalu kerana komplikasi paru-paru akibat serangan wabak itu.

"Tujuan saya adalah untuk mengelakkan ayah pergi ke tempat sesak seandainya beliau pulih daripada Covid-19 tetapi kita hanya merancang, ALLAH yang menentukan dan takdir-Nya, ayah meninggalkan kami sekeluarga kerana wabak ini.

Iklan

"Namun, saya tetap meneruskan hasrat membangunkan Pasar Perantau untuk memudahkan anak-anak perantau memesan barangan dapur basah dan segar dari pasar secara dalam talian dan barangan tersebut akan dihantar terus ke pintu rumah ibu bapa serta keluarga tersayang," katanya kepada Bernama.

Idea mewujudkan Pasar Perantau itu dicetuskan Wan Muhd Firdaus bersama isterinya Nur Asyiqin Hamdan, 24, pada Mac lepas. Ia menyediakan khidmat penghantaran pelbagai barangan basah seperti ayam, daging, hasil laut, sayur-sayuran, buah-buahan termasuk barangan runcit yang dijual peniaga kecil di Pasar Siti Khadijah.

Iklan

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata selain melindungi golongan warga emas daripada dijangkiti Covid-19, beliau juga berharap dengan adanya Pasar Perantau ini, ia dapat membendung penularan wabak itu yang semakin meningkat di Kelantan.

"Insya-ALLAH, platform ini akan memudahkan orang ramai terutama golongan ibu bapa yang tidak perlu bersesak-sesak di pasar raya untuk membeli barangan basah," katanya yang menetap di kawasan perumahan dekat Jalan Merbau di sini.

Bercerita lanjut, Wan Muhd Firdaus pernah bekerja sebagai eksekutif teknikal di sebuah syarikat automobil di Selangor selama 13 tahun dan beliau mengambil keputusan melepaskan jawatan itu pada Mac lalu, untuk menjaga ibunya, Faridah Rahman, 66 dan memberi fokus terhadap perniagaan itu.

"Ibu juga adalah bekas pesakit Covid-19 kerana dijangkiti daripada arwah ayah. Alhamdulillah, ibu pulih sepenuhnya tetapi saya buat keputusan untuk tinggal di sini kerana mahu menjaganya selepas pemergian ayah," kata bapa kepada seorang anak lelaki itu.

Menurutnya, barangan basah yang ditempah pelanggan akan disiang serta dibersihkan terlebih dahulu, kemudian dibungkuskan di dalam beg plastik 'zip lock' sebelum diedarkan ke rumah pelanggan di sekitar daerah ini antaranya Wakaf Bharu, Peringat dan Pasir Tumboh termasuk beberapa lokaliti di jajahan Pasir Mas.

Katanya, setakat ini sambutan amat menggalakkan dan beliau kini menggajikan tiga pekerja dan merancang meluaskan perkhidmatan Pasar Perantau ke Pasir Puteh.

"Alhamdulillah...Pasar Perantau kini mendapat sambutan yang baik daripada penduduk Kelantan mahupun anak perantau di luar negeri ini yang memesan untuk ibu bapa mereka di kampung halaman.

"Anggaran hasil jualan juga mencecah antara RM30,000 hingga RM40,000 sebulan dan jualan tertinggi adalah pada musim perayaan Aidilfitri, Mei lepas iaitu RM45,000," katanya mengakhiri perbualan. - Bernama