SHAH ALAM - Kewujudan majlis keluarga atau ‘family council’ sangat penting bagi memastikan kelestarian dan kebersamaan sebuah perniagaan keluarga.
Ketua Pegawai Eksekutif BinaPavo, Dr Leilanie Mohd Nor berkata, majlis sedemikian diperlukan kerana sifat sesebuah perniagaan keluarga adalah sangat dinamik dan emosional.
Beliau berkata, majlis keluarga akan membantu sesebuah perniagaan untuk memiliki struktur dan panduan bagi membina kepercayaan antara ahli keluarga.
"Dalam perniagaan keluarga, ia mempunyai tiga dimensi iaitu perniagaan, keluarga dan pemilikan. Dengan majlis keluarga ini, kita boleh membentuk satu polisi dan struktur di mana setiap ahli keluarga akan memiliki suara masing-masing.
"Kita tidak mahu hanya keluarga yang bekerja lebih banyak memberikan keputusan daripada keluarga yang tidak bekerja dalam perniagaan itu. Mungkin ada adik-beradik yang bekerja sebagai doktor dan membuka klinik atau berkhidmat di hospital, tapi itu tidak bermakna dia tidak ada suara.
"Dia juga adalah seorang ahli keluarga, jadi majlis keluarga inilah yang akan menyatukan suara kesemua ahli keluarga,” katanya ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian edisi ke-280 bertajuk ‘Cabaran Legasi Perniagaan Keluarga’ pada Khamis.
Wacana tersebut turut menampilkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin dan Pengarah Inovasi Akademik UniRazak, Profesor Dr Mohar Yusof, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Pada masa sama, Leilanie yang merupakan pakar dalam pengurusan perniagaan keluarga berkata, tiga aspek penting dalam pengurusan perniagaan keluarga ialah komunikasi, kesatuan dan kesinambungan.
Dalam sesebuah perniagaan keluarga, katanya, seluruh ahli perlu memiliki komunikasi yang baik meliputi urusan operasi, pemilikan dan pewarisan.
"Kita tidak akan mampu bermuafakat kalau tidak berkomunikasi. Tanpa muafakat, ia hanya akan menyebabkan berlakunya syak wasangka. Ini kerana kita tidak yakin dengan apa yang difikirkan adik-beradik atau saudara-mara.
"Tapi kalau kita ada muafakat dan kesatuan, barulah kita akan memiliki visi bersama dan dari situlah kita akan mencapai aspek ketiga iaitu kelestarian,” jelas beliau.