SHAH ALAM - Petisyen dalam talian yang mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan pembukaan sekolah yang dijadualkan pada 1 September depan sehingga kini berjaya meraih hampir 75,000 tandatangan.
Setakat jam 11 pagi Jumaat, petisyen yang bermula Ahad lalu itu ditandatangani seramai 74,626 orang.
Kempen yang dilakukan menerusi laman web change.org berkenaan menyasarkan penyertaan seramai 100,000 rakyat Malaysia.
Majoriti rakyat yang menurunkan tandatangan menyifatkan situasi ketika ini yang menyaksikan jumlah harian kes menjangkau angka 20,000 tidak sesuai untuk pembukaan semula sekolah.
Keadaan ditambah buruk dengan penularan varian Delta yang lebih ganas selain mengambil kira pelajar dan murid yang masih belum divaksin.
Petisyen itu dimulakan netizen bernama Awang Sulong yang ditujukan khas kepada Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Ia mendesak KPM menangguhkan pembukaan semula sekolah untuk proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka kerana ia dianggap sangat berbahaya ketika kes Covid-19 masih tinggi.
Pembukaan semula sekolah itu diminta ditangguhkan sehingga Malaysia mencapai imuniti berkelompok.
Pada 17 Julai lalu, KPM membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 September depan.
Menurut KPM, perkara itu mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
ARTIKEL BERKAITAN: Petisyen desak KPM tangguh buka sekolah dilancarkan