BERA - Mayat seorang kanak-kanak yang dipercayai terjatuh di Sungai Triang dekat Kampung Bukit Keledang, Mengkarak ditemui kira-kira jam 9.20 pagi Jumaat.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Buntar, Abraham Baraq Mohd Khairuddin, 11, dari Kampung Sri Buntar dekat Triang itu dipercayai terjatuh di Sungai Triang dekat Kampung Bukit Keledang, Mengkarak pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, penduduk kampung dari arah seberang sungai menemui mangsa tersangkut di belat yang dipasang penduduk kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
"Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang semalam (Khamis), saksi kejadian memaklumkan, lima ahli keluarga hendak ke kebun berhampiran sungai.
"Empat ahli keluarga turun ke tepi sungai untuk mandi dan tiba-tiba abang mangsa melihat adiknya terkapai-kapai dan cuba menarik mangsa ke tepi tetapi gagal kerana arus deras serta air yang dalam.
"Mangsa kemudiannya tidak dapat diselamatkan dipercayai lemas dibawa arus," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Ujarnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan kira-kira jam 9.30 malam Khamis dan disambung pada jam 8 pagi Jumaat.
"Seramai 44 orang membabitkan anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) termasuk penduduk kampung terbabit dalam operasi tersebut.
"Mayat mangsa ditemui terperangkap pada belat (jaring) kira-kira 200 meter dari tempat kejadian.
"Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 10.20 pagi," kata beliau.