KUALA LUMPUR - Pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2021 kini diunjurkan antara tiga dan empat peratus, lebih rendah daripada unjuran sebelum ini antara enam dan tujuh peratus, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Beliau berkata, unjuran pertumbuhan baharu itu lebih rendah berbanding julat pertumbuhan yang diumumkan sebelum ini, sebahagian besarnya disebabkan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan Covid-19 di seluruh negara.
"Bagaimanapun, jangkaan pembukaan semula ekonomi akan menyokong pemulihan secara beransur-ansur pada suku keempat tahun ini, dengan pertumbuhan global yang lebih tinggi dan sokongan dasar yang berterusan memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya pada sidang akhbar mengenai laporan Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Kedua 2021 yang dikeluarkan pada Jumaat.
Ekonomi negara berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua 2021 berbanding negatif 0.5 peratus pada suku pertama, disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.
Nor Shamsiah berkata, ekonomi Malaysia kekal pada landasan pemulihan pada 2021.
"Meskipun penularan kes Covid-19 dan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara dijangka menjejaskan pertumbuhan, kesannya akan dikurangkan oleh beberapa faktor.
"Ini termasuk kebenaran yang terus diberikan kepada sektor ekonomi perlu untuk beroperasi, kemampuan yang lebih tinggi untuk menyesuaikan diri bekerja dari rumah serta bertambahnya penggunaan automasi dan pendigitalan,” katanya.
Pertumbuhan akan terus disokong oleh langkah-langkah dasar yang akan memberikan sokongan aliran tunai khususnya kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas.
Pada masa depan, katanya, trajektori pertumbuhan akan bergantung pada keupayaan membendung epidemik ini dan hasil kesihatan yang dicapai berikutan program pemberian vaksin di seluruh negara.
Ini akan membolehkan sektor ekonomi dibuka semula secara beransur-ansur serta meningkatkan sentimen isi rumah dan perniagaan.
Nor Shamsiah berkata, pemulihan dijangka terus pesat pada 2022, disokong oleh kegiatan ekonomi yang beransur-ansur kembali normal serta limpahan kesan positif daripada permintaan luaran yang terus meningkat.
"Secara umumnya, pemulihan pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka bermula semula pada penghujung separuh kedua 2021 dan bertambah baik pada 2022.
"Kemajuan yang berterusan dan keberkesanan program pemberian vaksin akan menjadi pemangkin utama kepada pembukaan semula ekonomi dan menjadi pendorong kepada sentimen yang positif.
"Ini akan mengurangkan tekanan ke atas kapasiti sistem penjagaan kesihatan dan membolehkan langkah-langkah pembendungan dilonggarkan,” katanya.
Setakat ini, negara telah memberikan 25.86 juta dos, iaitu 16.3 juta adalah dos pertama dan 9.5 juta telah melengkapkan vaksinasi dengan dua dos.
Selain itu, pertumbuhan akan terus disokong oleh peningkatan pengeluaran komoditi, wujudnya sedikit permintaan terpendam dan pelaburan yang berterusan dalam projek infrastruktur berskala besar berikutan penamatan sekatan.
Dalam perkembangan lain, katanya, dalam tempoh terdekat, inflasi keseluruhan diunjurkan sederhana apabila luputnya kesan asas harga bahan api.
Bagi 2021, katanya, purata inflasi keseluruhan dijangka antara 2.0 peratus dan 3.0 peratus.
Inflasi asas, yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5 peratus dan 1.5 peratus untuk tahun ini, dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. - Bernama