BESUT- Sebanyak 54 ekor haiwan berkeliaran berjaya ditangkap oleh anggota penguatkuasa Majlis Daerah Besut (MDB) dalam tiga operasi berasingan di sekitar daerah ini.
Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Ahmad Azizi Zulkifli berkata, haiwan tersebut terdiri daripada 40 ekor kambing, 11 biri dan tiga ekor lembu.
Iklan
Iklan
Menurutnya, menerusi Ops Haiwan Merayau yang diadakan awal minggu ini mencatatkan jumlah tangkapan terbesar iaitu sebanyak 36 ekor iaitu 30 ekor kambing dan enam biri-biri di sekitar Kuala Besut, Kampung Limbongan dan Pengkalan Nyireh.
"Operasi tersebut membabitkan seorang pegawai dan 15 anggota bermula jam 3 petang hingga 7 malam,” katanya.
Ahmad Azizi berkata lagi, dua lagi operasi diadakan pada hari berbeza sebelum itu diadakan di sekitar Kuala Besut, Lay Out Tok Saboh dan Kampung Keluang.
Menurutnya, operasi turut diadakan di sekitar Kampung Raja, Kuala Besut, Air Tawar, Pengkalan Nyireh dan Gong Medang.
"Kesemua haiwan tersebut ditempatkan dikandang khas bertempat di Depo MDB dekat Gong Medang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.