PULAU PINANG - Tiga generasi keluarganya menyara kehidupan sebagai nelayan di Teluk Kumbar, selatan Pulau Pinang.
Sebagai nelayan muda yang membesar di sini, Nur Adam Anuar, 23, mempunyai sisi pandang berbeza mengenai projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSI).
Pelbagai pengalaman pahit dan manis membantu datuknya, Idris Ismail, 66, di laut sejak berumur 14 tahun masih kekal dalam memori.
"Antara pengalaman pahit yang masih saya ingat adalah kami bangun pada tengah malam untuk menyiapkan peralatan menangkap ikan dan bot. Sepanjang malam kami bersengkang mata, menunggu arus dan cuaca baik di pondok sebelum bergerak.
"Perkara paling menakutkan sebagai nelayan adalah apabila terperangkap dalam ribut di tengah lautan. Kami mempunyai pengalaman seperti itu ketika saya berumur 18 tahun,” ujarnya mengimbas kisah lalu.
Ujarnya, bot yang dinaiki dihempap ombak kuat sehingga hampir terbelah dua. Hujan yang terlalu lebat menyukarkan penglihatan mengesan garis pantai.
"Dalam kesukaran itu, syukur, kami akhirnya berjaya juga mencari jalan pulang,” ceritanya.
Meskipun pengalaman itu meninggalkan trauma yang mendalam kepada Nur Adam dan datuknya, namun kehidupan sebagai nelayan perlu diteruskan demi kelangsungan hidup.
Atas sebab itulah ujarnya, kebanyakan nelayan mahu anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi supaya mempunyai lebih banyak pilihan kerjaya.
Pemegang diploma kejuruteraan elektrik itu menjelaskan, dia tetap turun ke laut seperti biasa sebaik tamat pengajian kerana belum ada rezeki mendapat pekerjaan.
"Sebagai nelayan, pendapatan saya tidak stabil, tiada penyata gaji. Saya tidak dapat membuat skim insurans atau membeli motosikal, tiada caruman Perkeso dan KWSP,” katanya.
Segala-galanya berubah apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat mahu membangunkan tiga pulau di Teluk Kumbar.
Datuknya yang dipanggil sebagai tok wan mendesak supaya Nur Adam memohon pekerjaan yang ditawarkan oleh projek PSI.
Nur Adam kemudiannya ditawarkan jawatan di Bahagian Libat Urus. Selama lebih satu tahun bekerja bersama projek PSI, pendapatannya lebih stabil.
Dia mendapat pelbagai faedah seperti perlindungan insurans, Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Melihat perubahan positif dalam kehidupannya, rakan-rakan Nur Adam yang membesar di Teluk Kumbar juga berhasrat untuk mendapatkan pekerjaan di PSI.
Bagaimanapun, tidak ada banyak kekosongan jawatan pada waktu ini kerana kerja-kerja penambakan belum bermula dan masih menunggu kelulusan daripada pada Jabatan Alam Sekitar untuk pelan pengurusan alam sekitar (EMP).
Penundaan kelulusan ini mungkin disebabkan oleh sekumpulan kecil nelayan bersama pihak lain dan peguam berusaha menghentikan projek itu.
"Saya dibesarkan dalam keluarga nelayan selama tiga generasi, tapi saya tidak ada masalah dengan projek PSI. Tok wan sendiri desak saya bekerja di sini untuk masa depan.
"Sebagai nelayan veteran, tok wan dapat melihat PSI membawa pembangunan di kawasan ini dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk generasi muda di Teluk Kumbar.
"Tok wan percaya dengan lebih banyak pilihan kerjaya, masyarakat setempat tidak perlu mempertaruhkan nyawa mereka di laut.
"PSI hanya menambak di lokasi tertentu sahaja. Hakikatnya, ada banyak lagi kawasan penangkapan ikan di laut selatan untuk nelayan seperti tok wan dan nelayan lain untuk turun ke laut,” jelasnya.