SELAYANG - Tindakan seorang lelaki menghempuk kepala abang iparnya menggunakan periuk menerima padah apabila dia dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Jumaat.
Azmi Shahadan, 56, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Julai lepas.
Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang itu didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Isnin Kulop, 72, menggunakan periuk di rumah mereka di Kampung Laksamana, Batu Caves, pada jam 11 pagi, 6 Julai lalu.
Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan tertuduh.
Selepas itu tertuduh mengambil periuk dan memukul kepala mangsa berkali-kali sehingga berdarah.
Menyedari kejadian itu, keluarga mangsa cuba meleraikan pergaduhan tersebut dan telah menghubungi polis.
Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian terus membawa tertuduh ke Hospital Selayang kerana mendakwa dirinya mengalami masalah mental sejak 15 tahun lalu.
Sementara itu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Marippan yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana tertuduh tidak bekerja selain mengalami masalah mental.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa.
"Tertuduh telah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 16 Julai lalu untuk dapatkan pemerhatian di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenyah dan laporan perubatan forensik psikiatri mengesahkan tertuduh waras dan sedar akan sifat dan perubatannya pada tarikh kejadian,” katanya.