SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memberi sumbangan sebanyak RM20,000 kepada dua atlet negeri ini yang mewakili negara di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada 24 Ogos hingga 5 September depan.
Sumbangan berkenaan diberikan kepada atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli dan atlet berbasikal, Muhammad Hafiz Jamali.
Exco Generasi Muda, Sukan Dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, pemberian sumbangan berkenaan merupakan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan atlet kelahiran Selangor yang bakal beraksi pada temasya bertaraf antarabangsa itu.
"Kita juga mahu pencapaian mereka menjadi contoh supaya lebih ramai lagi atlet lain dapat beraksi dalam temasya besar selepas ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan dan Sembang Santai Bersama Atlet Selangor Ke Temasya Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung secara maya pada Jumaat.
Dalam pada itu Mohd Khairuddin berkata, sumbangan peruntukan berkenaan dapat digunakan dan menjadi pembakar semangat untuk dua atlet itu menghadapi cabaran pada temasya kali ini.
Tambahnya, kerajaan negeri mahu melahirkan ramai atlet yang berpotensi mewakili negara dalam kejohanan sukan antarabangsa seterusnya mengekalkan Selangor sebagai peneraju kecemerlangan sukan di negara ini.
"Kerajaan Selangor juga pastinya akan memantau secara dekat pencapaian dan prestasi atlet kita," katanya.