KUCHING - Empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam insiden tembakan di Balai Pengawal (HANDAU) di kem TUDM di Kota Samarahan, dekat sini pagi Jumaat.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Mancha Ata berkata, kejadian berlaku apabila suspek yang merupakan salah seorang anggota berkenaan dikatakan telah merampas senjata api dari tempat simpanan senjata api balai pengawal itu.
Beliau berkata, rakan suspek cuba menenangkannya, namun rakannya itu telah ditembak di bahagian perut, dan suspek kemudian masuk ke bahagian bilik rehat sebelum menembak seorang lagi anggota di bahagian sisi dada sebelah kanan.
"Kemudian suspek menembak seorang lagi rakannya di bahagian belakang, sebelum membunuh diri dengan menembak bahagian bawah dagu... dua mangsa dan suspek mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi di Hospital Jantung Kota Samarahan,” katanya.
Katanya setakat ini siasatan meliputi pengambilan sampel DNA, senjata, kesan tembakan dan kelongsong, yang akan dihantar ke forensik PDRM dan Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.
"Polis juga telah meneliti rakaman kamera CCTV dan saksi akan dipanggil untuk siasatan lanjut. Motif serta punca kejadian masih dalam siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
TUDM dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, berlaku satu insiden tembakan membabitkan empat warga TUDM pada jam 7.15 pagi di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching ketika waktu anggota bertugas.
TUDM juga akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Sementara itu mayat pertama kes tembakan itu tiba di rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 12.40 tengah hari.
Tinjauan di rumah mayat HUS mendapati belum ada ahli keluarga mangsa yang kelihatan, dan kawalan keselamatan yang ketat dikenakan di pintu masuk ke kawasan rumah mayat. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] Empat anggota TUDM maut dalam insiden tembakan