Hak pengundi di Malaysia perlukan pembaharuan demi memelihara demokrasi

Iklan

SHAH ALAM - Petisyen menerusi kempen #JanganNafiUndiKami dengan sasaran mengumpul 30,000 sokongan rakyat Malaysia dilakukan untuk menuntut penambahbaikan hak suara rakyat Malaysia dalam sistem pengundian pada Pilihan Raya Umum (PRU).

Sejak dilancarkan lebih 48 jam lalu, petisyen berkenaan berjaya mengumpulkan lebih 2,900 tandatangan sekali gus menggambarkan sokongan rakyat agar kerajaan memberi perhatian terhadap kempen tersebut.

Iklan
Iklan

Usaha yang digerakkan secara dalam talian itu dimulakan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan kepada pembaharuan sistem PRU dengan harapan agar rakyat dapat melihat Malaysia yang lebih baik.

Kempen yang dilancarkan bermula 11 Ogos hingga 31 Ogos itu turut berjaya menarik perhatian nama-nama besar yang bergabung untuk menandatangani petisyen berkenaan.

Iklan

Mereka termasuk Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; penyampai radio, Johan Fernandez (JJ); serta tiga lagi pempengaruh media sosial iaitu Luqman Yamin, Nalisa Alia Amin yang juga seorang aktivis dan Akeem Sharyzal.

Kempen #JanganNafiUndiKami dicetuskan dengan tujuan mendesak kerajaan mengembalikan kuasa rakyat dan memastikan hak untuk memilih tidak dinafikan atau ditindas berikutan beberapa isu yang dibangkitkan.

Iklan

Berdasarkan laman sesawangan platform berkenaan, petisyen menggariskan dua tuntutan utama iaitu pelaksanaan segera Undi18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik (AVR) kerana sekiranya tidak dilaksanakan segera, lebih 7.8 juta rakyat tidak dapat mengundi pada PRU15.

Petisyen turut menuntut kerajaan menambah baik akses pengundian kepada pemilih yang layak berikutan ramai rakyat Malaysia tidak berkemampuan dari sudut kewangan dan kemudahan untuk mengundi.

Ia termasuk pengundi luar negara, penduduk Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung, mereka yang bekerja dan menetap di negara jiran serta pengundi di kawasan pedalaman.

Ini kerana didakwa lebih 1 juta rakyat Malaysia tinggal di luar negara namun kurang daripada 8,000 orang menggunakan undi pos untuk mengundi pada PRU14 yang lalu.

Antara lain, pestisyen tersebut juga sebagai usaha mendidik rakyat tentang hak pengundi agar tidak ditindas seterusnya mendorong lebih ramai penyertaan rakyat menandatangani petisyen berkenaan.

Namun apa yang penting, gerakan tersebut juga merupakan sebahagian daripada enam perkara yang digariskan di bawah kempen Ketuanan Pengundi oleh Bersih 2.0 yang menekankan isu-isu penting bagi Malaysia.

6 Tonggak Ketuanan Pengundi

1. Jangan Tolak Undi Kami

- Laksanakan pendaftaran pengundi UND118 & automatik dengan segera.

- Tingkatkan akses pengundian kepada SEMUA pengundi yang layak (termasuk mereka yang tinggal di luar bandar atau bekerja di luar negara).

2. Lompat parti

- Memfokuskan kepada ahli politik supaya berhenti lompat parti untuk mendapatkan keuntungan mereka sendiri atau pecat melalui prosedur undang-undang pilihan raya.

3. Keperluan Parlimen untuk Berfungsi

- Menuntut agar Parlimen dibebaskan dan dapat berfungsi sepenuhnya secara profesional sebagai keseimbangan mekanisme kepada kerajaan.

4. Tiada Kebebasan Bersuara

- Melindungi hak asasi rakyat terhadap kebebasan bersuara, berkumpul dan bersatu tanpa perlu menghadapi sebarang tuduhan jenayah.

5. Tiada"Dua Darjat"

- Memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang yang adil, tanpa berlakunya double standard, pendakwaan dan hukuman yang terpilih, penghapusan rasuah dan banyak lagi.

6. Beri Suara Pembayar Cukai

- Mengagihkan kuasa di Putrajaya kepada kerajaan negeri dan tempatan serta mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

Rakyat Malaysia yang mahu turut serta memberikan sokongan boleh menandatangani pestisyen berkenaan dengan melayari https://bit.ly/3CIwUwA