Kementerian Pendidikan beri jaminan

Iklan
Nie Ching (tengah) melihat aduan tambahan yang disampaikan Francis (dua, kiri) ketika kunjungan ke SJKT Ladang Coalfields.

BANDAR SRI COALFIELDS – Kementerian Pendidikan memberi jaminan sebarang kecacatan dan aduan tambahan mengenai bangunan sekolah baharu akan diberikan perhatian sewajarnya.

Timbalan menterinya, Teo Nie Ching menjelaskan, pihaknya akan memastikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor sentiasa mengambil tindakan proaktif bagi mengatasi isu yang dibangkitkan Lembaga Pengelola SJKT ini.

Iklan
Iklan

Mengulas mengenai aduan, pihak sekolah mempunyai tempoh setahun untuk melaporkan sebarang kecacatan pada bangunan yang perlu diberikan perhatian demi keselamatan murid.

"Bagaimanapun hasil lawatan ini saya berpuas hati dengan struktur bangunan sekolah baharu SJKT Ladang Coalfields yang kondusif dan berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Iklan

"Difahamkan, seramai 94 murid SJKT Ladang Coalfields di tapak lama akan dipindahkan ke sekolah baharu ini selepas cuti Mac nanti,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan SJKT Ladang Coalfields.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JKR Selangor, Ir Rozita Mat Senapi, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Marpuaton Sastero dan Jurutera JKR Daerah Kuala Selangor, Ir Mohd Yusri Hamid.

Iklan

Nie Ching turut memaklumkan, kerajaan akan mengamalkan konsep tender terbuka untuk projek pembangunan akan datang bagi memastikan duit rakyat dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Saya juga mahu mengingatkan pengurusan sekolah supaya tidak terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai kanan kementerian untuk mendapatkan tender projek.

"Saya menerima aduan di Perak yang mana seorang guru besar diminta mendapatkan sebut harga untuk projek tambahan sekolah dan imbuhan komisen bagi meluluskan projek.

Rozita

"Ingin saya tegaskan bahawa kementerian tiada arahan untuk mengarahkan pengurusan sekolah untuk mengemukakan sebut harga lebih-lebih lagi dikenakan komisen dan sebagainya.

"Ini adalah salah dan janganlah percaya. Jangan biar individu tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan sebab kerajaan amalkan tender terbuka,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengelola SJKT Ladang Coalfields, R Francis membangkitkan kebimbangan terhadap struktur paip di tengah laluan parking secara terbuka yang dikhuatiri akan mengundang kemalangan.

"Kami juga meminta sengkuap tambahan pada bumbung kantin dapat dibina dalam kadar segera bagi mengelakkan berlakunya tempias hujan selain isu laluan penjalan kaki yang agak cerun.

"Kami berharap isu yang dibangkitkan ini dapat diberikan perhatian sewajarnya kerana tidak mahu murid sekolah berdepan akibat yang tidak diingini," katanya.

Sementara itu, Ir Rozita turut menjelaskan, pihaknya dengan kerjasama pihak Syabas dan pihak berkaitan akan membincangkan semula beberapa isu termasuk paip di laluan parking berhadapan sekolah.

"JKR Selangor komited menyelesaikan isu ini bersama Syabas bagi memastikan keselamatan murid lebih terjamin. Lagipun kita memerlukan masa untuk merancang semula reka bentuk laluan baharu.

"JKR akan buat yang terbaik kerana diberi kepercayaan kerajaan negeri sebagai pelaksana projek dan setiap projek memberikan pengalaman ‘cabaran’ berbeza meskipun menggunakan reka bentuk yang sama,” katanya.

Bangunan empat tingkat SJKT Ladang Coalfields yang siap pada 15 Januari lalu itu mempunyai kemudahan enam bilik darjah, bilik guru, pejabat dan perpustakaan dengan kos RM3.9 juta.