SHAH ALAM- Beberapa syarikat terkenal berkolaboratif bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Food Aid Foundation (FAF) menerusi inisiatif #KitaBersama untuk memberikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan terutamanya yang terkesan Covid-19.
Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Pengguna Baba Products (M) Sdn Bhd, Farhan Hafetz berkata, antara syarikat yang terlibat ialah Baba Products (M) Sdn Bhd, Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Sime Darby Oils, dan Kumpulan Syarikat Etika.
"Sebagai permulaan, kami berjaya membuat penghantaran pertama produk-produk Babas’s, Mamee, Alif, dan Goodday berjumlah melebihi RM90,000 pada Jumaat.
"FAF akan segera mengedarkan makanan dan minuman yang diterima kepada mereka yang memerlukan terutamanya penduduk di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekitar Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, initiatif #KitaBersama bertujuan menggalakkan syarikat-syarikat barangan pengguna untuk menghulurkan bantuan.
"Kebanyakan syarikat sudahpun membuat aktiviti amal secara bersendirian, tetapi lebih baik jika dibuat bersama-sama. Apabila kita semua bekerjasama, lebih ramai yang dapat dibantu secara berterusan,” katanya.
Sementara itu, Pengasas FoodAidFoundation.org, Rick Chee berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama diperkenalkan pada bulan Mac 2020, FAF telah mengedarkan lebih daripada 2 juta kilogram (kg) makanan kepada yang memerlukan.
Bagaimanapun, sejak PKP 3.0, peningkatan permintaan naik secara mendadak, khususnya dari komuniti B40.
"Kami tidak mampu untuk memenuhi keperluan masyarakat sepenuhnya. Oleh itu kami mengalukan-alukan sumbangan terutama daripada syarikat pengeluar makanan agar kami dapat meningkatkan jumlah bantuan," katanya.
Semua syarikat pengeluar makanan dan minuman di Malaysia dijemput untuk bersama-sama menjayakan initiatif #KitaBersama. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi farhan@babas.com.my.