PETALING JAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengadakan persidangan meja bulat bagi membincangkan isu warga emas termasuk yang didera dan dibuang anak.
Timbalan Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata perbincangan yang belum ditetapkan tarikh itu akan melibatkan badan bukan kerajaan, organisasi serta kementerian lain yang berkaitan.
"Tiada gunanya ada undang-undang yang baik jika tiada siapa tampil melaporkan penderaan warga emas khususnya yang melibatkan anggota keluarga.
"Ini lebih kurang sama dengan gangguan seksual. Sukar untuk mangsa tampil dan bercakap tentang pengalaman mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri forum mengenai meningkat tua ‘The Rethinking Ageing’, di sini hari ini.
Menurut Yeoh, perbincangan akan menekankan enam kriteria iaitu penjagaan kesihatan, keperluan asas, pendapatan dan kewangan, peluang pekerjaan, penyertaan dan integrasi sosial, serta keselamatan dan maruah.
"Kami akan mengadakan perundingan terlebih dahulu dan kami ada pasukan petugas khas di kementerian di samping melibatkan badan bukan kerajaan dan kementerian lain,” katanya.
Mengulas perkembangan sama, Yeoh berkata ada trend yang semakin meningkat mengenai anak-anak mendera ibu bapa mereka yang telah tua setelah mereka menerima bahagian harta masing-masing.
Katanya ibu bapa terbabit berasa canggung untuk melaporkan perbuatan anak-anak mereka kepada pihak polis, justeru mereka hanya menanggung penderaan itu.
Sehubungan itu, beliau menggesa warga emas yang memerlukan bantuan agar menghubungi talian hotline 15999 bagi mendapatkan nasihat mengenai pihak yang harus dituju jika mereka didera. - Bernama