SHAH ALAM- Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad mendakwa bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pentadbiran paling teruk dalam sejarah negara.
Menurutnya, perkara tersebut menyebabkan tiada ahli Parlimen daripada blok pembangkang yang akan menerima tawaran kerjasama rentas parti yang dibentangkan.
"Tiada sebab hendak sokong kerana prestasi paling teruk dalam sejarah negara. Langsung tiada hala tuju. Tiada kepimpinan. Hanya main politik dan sogok.
"Kerajaan dibina atas dasar khianat dan sogok. Jadi kami tidak perlu sokong perkara yang memalukan sedemikian rupa.
"Saya tidak akan menerima sebarang tawaran yang diberikan. Prestasi mereka teruk. Cara tangani pandemik, ekonomi, pendidikan juga gagal,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau yang juga ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, Muhyiddin perlu meletakkan jawatan terlebih dahulu sebelum mengadakan perbincangan bersama untuk selamatkan negara dalam keadaaan sekarang.
"Saya cadangkan, dia (Muhyiddin) letak jawatan dan bincang bersungguh- sungguh cari penyelesaian masalah yang dihadapi kini.
Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.
Pada masa sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.
Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.
Perutusan itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.