KUALA TERENGGANU - Walaupun negara diselubungi pandemik Covid-19, namun ia sedikit pun tidak akan menjejaskan 'mood' rakyat untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan pada tahun ini.
Meskipun pergerakan sambutannya agak terhad, namun para pemimpin di peringkat komuniti akan memastikan ia akan diwarnai dengan keceriaan.
Bersandarkan kreativiti, penduduk Kampung Gong Baru, mengambil inisiatif dengan memperindahkan tali air kampung itu dengan Jalur Gemilang.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gong Baru, Mohd Hanafiah Ismail berkata, barisan ahli jawatankuasa mengambil inisiatif memasang Jalur Gemilang di sepanjang tali air sepanjang hampir satu kilometer.
"Dengan pemasangan Jalur Gemilang di beberapa lokasi di sepanjang tali air itu sedikit sebanyak membakar semangat cintakan negara, sekali gus menyemarakkan sambutan kemerdekaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut Mohd Hanafiah, pihaknya juga bercadang untuk menganjurkan pelbagai aktiviti dan pertandingan melibatkan penyertaan penduduk setempat yang bersesuaian mengikut SOP semasa pada hari kemerdekaan nanti.
"Misalnya, kami akan menganjurkan pertandingan mewarna bertemakan Bulan Kemerdekaan, pakaian beragam serta program ‘Cintailah Tali Air Kita’ iaitu peserta akan berjalan dengan berkain batik di sepanjang tali air sambil mengutip sampah.
"Bagaimanapun, jika pada tempoh itu SOP tidak membenarkan sebarang aktiviti berkumpul dijalankan, kami akan mengadakan pertandingan pantun dan sajak secara maya," katanya.
Sementara itu, Pengerusi KRT Kampung Kubang Ikan Chendering, Roslan Afendi Aziz, menjelaskan, pihaknya mengambil inisiatif untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebanyak mungkin di lokasi tumpuan terutama di pintu gerbang masuk ke kampungnya.
"Diharapkan dengan cara ini dapat menaikkan semangat penduduk kampung menyambut hari kemerdekaan dengan norma baharu.
Katanya, jika ada peruntukan, mereka bercadang untuk mengagihkan Jalur Gemilang kepada setiap penduduk supaya mereka dapat mengibarkannya di rumah masing-masing.